“Indah khabar dari rupa”
Iceland berjaya mengikat Argentina 1-1 malam semalam? Iceland? Negara kecil yang hanya mengandungi lebih kurang 350,000 orang? Menentang skuad Argentina yang dibarisi pemain-pemain bintang seperti Lionel Messi, Sergio Aguero, Angel di Maria dan juga Paulo Dybala?
Atas kertas, kita tidak boleh menafikan bahawa skuad Argentina mempunyai pemain-pemain yang jauh lebih baik. Tetapi itu hanya dari segi perspektif individu. Sebagai sebuah pasukan, Argentina tidaklah sekuat apa yang diperkatakan orang ramai.
Malam semalam, mereka gagal mencari jalan untuk melepasi barisan pertahanan Iceland, yang bermain dengan ‘defensive line’ yang rendah. Lionel Messi sendiri buntu dalam usaha untuk mencari jalan keluar, malah apabila diberi peluang untuk menyelamatkan Argentina, sepakan penalti pemain Barcelona itu diselamatkan oleh penjaga gol Iceland.
Pujian harus diberikan kepada skuad Iceland, yang bertungkus lumus di atas padang untuk meraih mata pertama mereka dalam sejarah Piala Dunia. Namun, hakikatnya adalah, sebuah skuad yang dibarisi pemain-pemain bintang seperti Argentina seharusnya bermain dengan lebih efektif.
Berdasarkan prestasi yang ditunjukkan La Albiceleste semalam, pepatah ‘Indah Khabar Dari Rupa’ cukup sesuai untuk dikaitkan dengan anak buah Jorge Sampaoli.