Piala Dunia 2018 Kajian & Analisis

Strakarnir Okkar: 10 perkara yang perlu anda tahu tentang skuad Iceland di Piala Dunia 2018

Iceland berjaya mencipta sejarah malam selepas mengikat Argentina 1-1 dalam penampilan pertama mereka di pentas Piala Dunia. Sergio Aguero meletakkan Argentina 1-0 di hadapan pada minit ke-19, namun Iceland berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-23, melalui jaringan Finnbogason.

Penjaga gol, Halldorsson kemudiannya muncul wira Iceland pada babak kedua selepas menyelamatkan sepakan penalti Lionel Messi pada minit ke-64, sekaligus memastikan pasukannya memulakan kempan Piala Dunia mereka dengan nada positif.

Berikut adalah 10 perkara yang perlu anda tahu tentang negara kecil yang berhati besar ini:

JURULATIH SEPENUH MASA, DOKTOR GIGI SEPARUH MASA

Selain menjadi jurulatih, Heimir Hallgrímsson juga merupakan seorang doktor gigi di Iceland. Menurut Hallgrimsson, peluang untuk pulang ke kampungnya yang dikenali sebagai Vestmannaeyjar, untuk merawat orang ramai ibarat sebuah hobi yang membantu beliau merehatkan minda danmelupakan bolasepak buat sementara.

BAKAT E-SPORTS

Bintang Iceland, Jóhann Berg Guðmundsson cukup berbakat sebagai pemain Counter Strike ketika beliau masih muda. Malah, Guðmundsson pernah menyertai kejohanan E-Sports yang paling berprestij di negara tersebut, iaitu Skálfti. Selain itu, beliau juga pernah menjadi sebahagian daripada kumpulan rock ketika berada di sekolah menengah.

ASAL USUL VIKING CLAP

Walaupun penyokong Iceland mempopularkan Viking Clap, aksi tersebut sebenarnya berasal dari Scotland. Penyokong Motherwell mula menggunakan aksi tersebut, selepas melihat filem 300, di mana King Leonidas turut ada menunjukkan aksi tersebut. Kemudiannya, penyokong Motherwell menggunakan Viking Clap ketika turun bertemu kelab Iceland, Stjarnan dalam perlawanan kelayakan Europa League pada tahun 2014. Aksi tersebut menarik perhatian penyokong Stjarnan, dan mereka pula mula menggunakan aksi tersebut dalam saingan domestik Iceland, sebelum ia menjadi viral dan diterima sebagai tanda sokongan buat pasukan kebangsaan Iceland.

NEGARA TERKECIL UNTUK BERAKSI DI PIALA DUNIA

Iceland kini sah menjadi negara terkecil untuk beraksi di pentas Piala Dunia dengan populasi sebanyak 330,000 orang. Sebelum ini, Trinidad & Tobago, yang layak ke Piala Dunia 2006, memegang rekod tersebut dengan populasi sebanyak 1.2 juta orang.

PENGARAH FILEM YANG MENYELAMATKAN SEPAKAN PENALTI MESSI

Penjaga gol Iceland, Hannes Halldorsson juga merupakan seorang pengarah filem. Baru-baru ini, beliau mengarah sebuah iklan video yang mempromosikan Piala Dunia 2018 untuk Coca Cola. Video tersebut akan ditayangkan di saluran televisyen di Iceland sepanjang kempen Piala Dunia.

PERJUMPAAN DENGAN PENYOKONG

Menurut artikel yang dikeluarkan oleh Sports Illustrated, ketua jurulatih Iceland, Heimer Hallgrímsson akan berjumpa dengan penyokong-penyokong Iceland, dua jam sebelum setiap perlawanan home di Reykjavik. Beliau akan mendedahkan kesebelasan pertama yang akan diturunkan untuk perlawanan tersebut, dan menerangkan sebab-sebab di belakang keputusan taktikal yang diambil. Kemudian, Hallgrimsson akan menayangkan video motivasi yang turut ditayangkan kepada pemain sebelum setiap perlawanan. Ini akan meningkatkan semangat para penyokong sebelum sesebuah perlawanan.

KONSEP PENAMAAN NORDIC

Anda mesti pernah tertanya, mengapa setiap pemain Iceland mempunyai nama yang berakhir dengan 'sson' atau 'ssen'? Ini kerana budaya Iceland tidak mempunyai konsep 'surname' dan 'last name'. Mereka menggunakan sistem penamaan Nordic, yang meletakkan 'sson' atau 'ssen' pada penghujung nama untuk menunjukkan bahawa mereka anak lelaki atau anak perempuan kepada seseorang bapa.

6.5 PERATUS RAKYAT ICELAND MERUPAKAN PEMAIN BOLASEPAK

Sebanyak 21,500 orang di Iceland mendaftarkan diri sebagai pemain bolasepak professional. Dari segi statistik, itu merupakan 6.5% daripada populasi Iceland secara keseluruhan. Ini adalah hasil daripada usaha sistematik yang diambil oleh Iceland untuk meningkatkan kualiti bolasepak di negara mereka. Negara tersebut mempunyai ramai jurulatih yang memegang lesen UEFA 'B', dan Iceland turut membina banyak 'indoor pitch' untuk membolehkan pemain mereka bermain walaupun salji turun dengan mendadak ketika musim sejuk.

PERNIAGAAN WINE YANG DIMILIKI EMIL HALFREDSSON

Selain bermain bolasepak secara professional, Emil Halfredsson turut memiliki sebuah perniagaan wine. Beliau menjadi tukang import wine dari kawasan Verona di Italu, melalui kenalan yang dibina ketika beraksi untuk Hellas Verona selama lima tahun. Halfredsson mendapatkan wine dari keluarga Allegrini di kawasan lembah Valpolicella.

BEKERJA DI KILANG GARAM SEBELUM BERTEMU ARGENTINA

Bintang Iceland, Birkir Saevarsson baru-baru ini mendedahkan bahawa beliau bekerja di sebuah kilang garam, sebelum berlepas ke Rusia untuk kempen Piala Dunia 2018. Bukan untuk mendapatkan wang saku atau pendapatan lebih, tetapi atas sebab tidak mahu menjadi malas sebelum beraksi di Piala Dunia. "Saya tak sanggup duduk di rumah tanpa buat apa-apa selepas latihan. Saya tidak mahu badan saya menjadi malas sebelum Piala Dunia," kata Saevarsson.