Luar Negara Eropah

Koleksi transfer rumours terhangat di Eropah: 17 Jun 2018

Piala Dunia 2018 kini sudah mengharungi separuh daripada perlawanan pusingan pertama. Seperti diketahui, saingan di Russia semestinya bakal menjadi medan buat pemain-pemain untuk memperkukuhkan nama bagi menarik perhatian beberapa kelab besar menjelang siangan musim 2018/19, disamping cuba untuk mendapatkan kejuaraan terbesar di peringkat antarabangsa bersama pasukan kebangsaan masing-masing.

Bagaimanapun, kemeriahan saingan di Russia tidak membuatkan spekulasi terhadap sesetengah pemain bola sepak terutamanya yang berada di Eropah dikaitkan dengan beberapa perpindahan atau mencetuskan khabar angin. Berikut adalah lima transfer rumours yang menarik perhatian kami pada hari ini.

Anthony Martial

Manchester United telah meletakkan tanda harga bernilai GBP75 juta untuk pemain yang berasal dari Perancis ini. Selepas gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama skuad bimbingan Jose Mourinho pada musim lalu, ejen kepada Martial telah mendedahkan bahawa bekas produk muda AS Monaco ini bercadang untuk meninggalka Old Trafford, sekaligus membuatkan Tottenham Hotspur dan Paris Saint-Germain (PSG) sentiasa menunggu masa untuk melakukan bidaan. Bagaimanapun, tanda harga tinggi yang ditetapkan itu mungkin akan menyaksikan Martial terus bersama The Red Devils.

Alisson Becker

Real Madrid telah melakukan bidaan berjumlah GBP50 juta bagi mendapatkan khidmat penjaga gol AS Roma, Alisson Becker. Bagaimanapun, Roma enggan bersetuju dengan nilai itu sambil meletakkan tanda harga bernilai EUR85 juta buat pemain yang turut menjadi buruan Liverpool ini, sementara Los Blancos menjadikan Thibaut Courtois sebagai alternatif sekiranya gagal untuk mendapatkan khidmat penjaga gol skuad kebangsaan Brazil di Piala Dunia 2014 ini.

Gareth Bale

Bale dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Santiago Bernabeu sebaik sahaja berakhir saingan Liga Juara-Juara Eropah musim lalu. Dia gagal menambat perhatian ZInedine Zidane, membuatkannya mula bosan dengan peranan dari bangku simpanan sehingga Bayern Munich dan Manchester United menginginkan khidmatnya. Bagaimanapun, Bale dijangka akan kekal dan cuba untuk mendapatkan kepercayaan pengendali baru Los Blancos, Julen Lopetegui.

Kenedy

Pengurus Newcastle United, Rafa Benitez, berharap dapat mengesahkan pembelian Kenedy dari Chelsea secara tetap. Masa depan Kenedy bersama The Blues menjadi tanda tanya tatkala situasi tentang pengurus pasukan, Antonio Conte, juga belum menemui sebarang kata putus. Selepas mendapatkan khidmat Kenedy secara pinjaman pada musim lalu, kini Benitez merancang untuk mendapatkannya secara tetap melalui yuran perpindahan berjumlah GBP20 juta, sekaligus akan mencatat rekod perpindahan baru buat Newcastle.

Javier Pastore

West Ham United meneruskan perbincangan untuk cuba membawa masuk pemain tengah Argentina ini melalui yuran perpindahan berjumlah GBP17.5 juta. Sebelum ini, cubaan untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 28 tahun itu menemui jalan buntu selepas dia meminta bayaran gaji bernilai GBP190 ribu seminggu. Bagaimanapun, memandangkan Paris Saint-Germain (PSG) mahu menjual pemain ini, West Ham telah memulakan kembali rundingan untuk membawa Pastore beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris.