Piala Dunia 2018 Berita

Tiga negara Asean berminat bida Piala Dunia 2034, ini kata Tengku Abdullah

Indonesia, Thailand dan Vietnam telah pun menyatakan hasrat untuk menganjurkan Piala Dunia bagi tahun 2034.

Hasrat itu dilihat sebagai satu perkembangan positif buat Ahli Jawatankuasa Eksekutif, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Malah katanya, segalanya terpulang kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan kerajaan sama ada ingin menyertai hasrat tiga negara tersebut.

“Asia Tenggara mempunyai peluang dan kekuatan untuk membida secara bersama seperti gandingan Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada yang memenangi bidaan untuk menjadi tuan rumah edisi 2026,” katanya kepada Bernama.

“Memang hakikatnya sudah sampai masa negara rantau Asia Tenggara diberi peluang dan masih mempunyai masa yang cukup untuk mempertingkatkan infrastruktur dan memperkuatkan pasukan kebangsaan masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Abdullah yang baru pulang dari menyertai Kongres FIFA di Moscow juga yakin Malaysia mampu untuk menjadi salah sebuah negara tuan rumah berdasarkan kelengkapan infrastruktur yang sedia ada.

Mengenai peluang pasukan-pasukan negara Asia Tenggara memperoleh slot istimewa selaku tuan rumah, tanpa mengharapkan kuota Asia, Tengku Abdullah berkata perkara berkenaan akan dibincangkan selari dengan cadangan pertambahan pasukan yang menyertai Piala Dunia kepada 48 pasukan pada tahun 2026.

Kali terakhir format jumlah pasukan beraksi di Piala Dunia diubah adalah pada tahun Perancis menjadi juara dunia 1998, yang menyaksikan pasukan yang bertanding ditambah daripada 24 pasukan kepada 32 pasukan.