Piala Dunia 2018 Berita

Tribe Peribahasa: Portugal 3-3 Sepanyol

“Apakah gunanya kemenyan sebesar tungku kalau tidak dibakar?”

Merugikan. Itu sahaja yang boleh diperkatakan tentang persembahan Sepanyol malam semalam. Biarpun mengawal tempo bola, mendominasi tempo perlawanan, dan kadang kala membuli barisan pertahanan Portugal yang nampak kucar kacir, mereka tetap pulang dengan hanya satu mata, selepas jaringan minit ke-88 daripada Cristiano Ronaldo memastikan skor perlawanan tamat 3-3.

Atas kertas, Sepanyol mempunyai skuad yang lebih mantap, dan malam semalam, mereka turut tampil dengan persembahan yang ibarat magis. Isco cukup mencuri tumpuan selaku playmaker utama mereka, Diego Costa pula memberi dimensi yang berbeza di bahagian serangan, manakala Sergio Ramos dan Gerard Pique berganding dengan cemerlang di bahagian pertahanan.

Namun, Sepanyol gagal menggunakan kelebihan yang dimiliki mereka untuk membunuh perlawanan tersebut. Kesilapan demi kesilapan dilakukan, hampir seperti Sepanyol mahu membantu Portugal mencari jalan kembali ke dalam perlawanan. Dan apabila Sepanyol berada 3-2 di hadapan, Pique melakukan kesilapan di luar kotak penalti yang memberi peluang kepada Cristiano Ronaldo untuk menyamakan kedudukan.

Ketiga-tiga gol Portugal datang dari kesilapan yang tidak patut dilakukan. Nacho tidak sepatutnya menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-4, David De Gea sepatutnya menyelamatkan percubaan Ronaldo pada hujung babak pertama, dan Pique tidak sepatutnya menghadiahkan sepakan percuma di posisi berbahaya kepada Portugal pada minit ke-88.

Walaupun mempunyai kelebihan, kesilapan-kesilapan ini akhirnya menghantui skuad Sepanyol. Bak kata pepatah, apakah gunanya kemenyan sebesar tungku kalau tidak dibakar?