Luar Negara Piala Dunia 2018

Tribe Peribahasa: Rusia 5-0 Arab Saudi

“Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air”

Jika setiap penyokong Rusia meragui kebolehan pasukan mereka mencipta kemenangan pertama sejak Oktober 2017, kesemuanya dihancurkan oleh persembahan yang ditunjukkan oleh skuad Beruang Merah malam tadi.

Beraksi di hadapan ribuan penyokong Rusia, anak buah Stanislav Cherchesov mengawal tempo perlawanan untuk 90 minit, menjaringkan lima gol, dan menunjukkan corak permainan yang berani, agresif dan kreatif.

Aleksandar Golovin mencuri tumpuan dengan larian-larian bahaya di sayap kiri, manakala Denis Cheryshev pula muncul hero Rusia dengan dua gol penting, selepas dibawa masuk untuk menggantikan Alan Dzagoev pada babak pertama.

Mungkin kemenangan ini bakal mencetus kebangkitan Rusia di pentas antarabangsa. Mungkin tiga mata ini boleh membantu mereka mencipta kejutan di halaman sendiri. Tetapi buat masa sekarang, misi pertama mereka – meraih tiga mata dalam perlawanan pembuka tirai Piala Dunia –  sudah selesai.

Bak kata pepatah, dayung sudah di tangan, perahu sudah di air.