Piala Dunia 2018 Santai

Barisan adik beradik kembar yang pernah beraksi bersama di Piala Dunia

Dikenali sebagai kejohanan bola sepak paling megah dan berprestij, Piala Dunia menjanjikan aksi-aksi hebat dalam setiap perlawanan. Suka, duka dan pelbagai perasaan wujud setiap kali ia berlangsung sehingga peminat-peminat tidak mahu ketinggalan semua detik.

Namun, di luar kisah perjalanan sesebuah pasukan yang meraih gelaran juara, percaturan taktikal yang digunakan oleh masing-masing serta kisah-kisah kontroversi daripada pengadil, terselit juga satu kisah romantik antara saudara kembar yang dipertaruhkan oleh sesetengah negara di Piala Dunia.

Berikut adalah senarai adik beradik kembar yang pernah beraksi bersama di Piala Dunia:

Rene dan Willy can der Kerkhof (Belanda)

Tampil luar biasa bersama PSV Eindhoven membuatkan adik-beradik van der Kerkhof menjadi tonggak skuad Belanda ketika era 70-an sehingga 80-an. Mereka membarisi skuad emas Belanda ketika konsep Total Voetbal sangat terkenal. Piala Dunia 1974 di Jerman Barat dan Piala Dunia 1978 di Argentina menjadi pentas yang disertai oleh mereka berdua. Apa yang menyedihkan, skuad De Oranje tewas dalam final bagi kedua-dua edisi Piala Dunia itu.

Eissa Meir dan Ibrahim Meir Abdulrahman (Emiriyah Arab Bersatu)

Piala Dunia 1990 di Itali menjadi penampilan pertama Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di pentas paling berprestij itu. Malangnya, percubaan pertama mereka berakhir kekecewaan besar apabila tewas dalam semua perlawanan. Bagaimanapun, terdapat satu perkara yang menarik dalam skuad UAE ketika itu, iaitu kewujudan pemain kembar Eissa Meir dan Ibrahim Meir Abdulrahman yang dibawa oleh pengendali, Carlos Alberto Parreira. Kedua-duanya beraksi dalam semua perlawanan peringkat kumpulan.

Hossam dan Ibrahim Hassan (Mesir)

Ketika Piala Dunia 1990, Mahmoud El-Gohary menyediakan skuad Mesir dengan sebaik-baiknya. Lebih-lebih lagi, aksi dalam kejohanan itu adalah penampilan buat julung kalinya bagi pasukan Afrika itu di saingan paling berprestij di dunia. Dalam senarai pemain yang dibawa oleh pengurus pasukan, terdapat sepasang kembar iaitu Hossam dan Ibrahim Hassan. Malangnya, perjalanan Mesir ketika itu berakhir awal kerana The Pharaohs gagal di peringkat kumpulan.

Frank dan Ronald de Boer (Belanda)

Selepas Rene dan Willy van der Kerkhof, Belanda kembali membawa pemain kembar ke dalam skuad bagi saingan Piala Dunia 1994 dan Piala Dunia 1998. Mereka adalah Frank dan Ronald de Boer. Dalam kejohanan pertaman, kedua-duanya meraih kesempatan untuk beraksi dalam empat perlawanan sehingga De Oranje terkandas di peringkat suku akhir. Empat tahun kemudian, Frank tidak pernah terlepas aksi sehingga ke separuh akhir sementara Ronald tidak diturunkan dalam satu perlawanan, iaitu ketika penentuan tempat ketiga menentang Croatia.

Marcin dan Michal Zewlakow (Poland)

Dalam era 1999 sehingga 2002, adik-beradik Zewlakow telah merantau ke Belgium untuk memperkuatkan Mouscron. Apa yang menari, kedua-duanya menjadi tonggak pasukan yang berdepan masalah kewangan pada 2009 itu. Mereka akhirnya dibawa oleh Jerzy Engel untuk ke Piala DUnia 2002. Michal menjadi bintang di barisan bawah sementara Marcin bergelar pengganti pilihan pertama jika Poland memerlukan lebih tenaga untuk merobek benteng lawan. Malangnya, perjuangan Bialo-czerwoni tamat di peringkat kumpulan.

David dan Philipp Degen (Switzerland)

Melalui pengalaman Piala Dunia pada 2006, Jakob ‘Kobi’ Kuhn memutuskan untuk membawa masuk pasangan kembar, David Degen dan Philipp Dagen, ke dalam skuad Switzerland. Mereka tampil hebat untuk layak ke pusingan kedua walaupun akhirnya tewas menerusi penentuan sepakan penalti di tangan Ukraine. Berbeza dengan pemain kembar yang lain, hanya Philipp yang sering diturunkan oleh Kuuhn dalam empat aksi diharungi Switzerland sementara David hanya memanaskan bangku simpanan.