Kejayaan Liverpool menundukkan Tottenham Hotspurs awal pagi tadi merupakan kemenangan keenam mereka dalam kancah Liga Juara-Juara dan masih memegang rekod kelab yang paling banyak memenangi Liga Juara-Juara.
Kemenangan ini juga telah mengeluarkan Jurgen Klopp daripada badi pentas akhir apabila cubaan ketujuh beliau berjaya memenangi kejohanan – kali terakhir Jurgen Klopp berjaya memenangi piala adalah pada 2012 sewaktu bersama Dortmund.
Spurs pula terpaksa akur dengan kekuatan Liverpool apabila tewas buat kali ketiga pada musim ini. Tetapi para pemain Spurs seharusnya berbangga dengan pencapaian mereka mara sampai ke Madrid buat kali pertama sejak membuat penampilan semula dalam kejohanan ini.
Beberapa faktor telah memimpin kepada malam penuh gemilang buat Liverpool dan malam penuh kekecewaan buat Spurs.
1. Gugup menghuni pemain Spurs
Apabila serangan pertama Liverpool dilancarkan setelah wisel dibunyi, pemain tengah Spurs, Sissoko jelas tidak bersedia apabila beliau menghadiahkan penalti kepada Liverpool dan Mohamed Salah mudah menjaringkan gol. Kesilapan mudah ini ada harga yang perlu dibayar dan hasilnya Liverpool di depan seawal minit kedua. Tambahan daripada itu, tiga serangkai Spurs dibahagian serangan tidak berhubung dengan baik apabila sering kehilangan bola dan gagal membaca permainan rakan sepasukan. Beberapa gerakan serangan yang dilancarkan juga tidak diakhiri dengan baik. Pemain Spurs gagal menangani perasaan gugup sehingga mereka perlu membayar harga yang mahal.
2. Liverpool pasukan lebih berpengalaman
Liverpool bukanlah pasukan yang asing daripada Liga Juara-Juara. Mereka pernah menjuarai kejohanan ini sebanyak lima kali dan malam ini menjadikan kemenangan keenam mereka. Pengalaman beraksi di Liga Juara-Juara jelas terbentuk dalam pasukan Jurgen Klopp. Mereka mudah mengawal permainan dan sentiasa fokus. Tambahan daripada itu, pengalaman di Madrid juga telah mengajar Liverpool untuk lebih bersedia dan tidak melakukan kesalahan mudah seperti mana yang mereka lakukan di Kiev sewaktu tewas di tangan Real Madrid. Para pemain Liverpool berjaya menangani tekanan untuk menjulang kejohanan ini dan mereka mengawalnya dengan sangat baik.
3. Serangan Spurs gagal berhubung
Spurs adalah antara pasukan yang mempunyai bahagian serangan yang tajam. Kehadiran Harry Kane di tengah sambil diapit oleh Delle Ali dan Heung-Min Son membuatkan mereka antara pasukan yang ditakuti. Pada malam ini, aksi ketiga-tiga pemain ini jelas lebih bersifat individu berbanding sebagai satu pasukan. Son antara paling menyerlah, manakala Ali dan Kane seperti gagal mempamerkan aksi terbaik mereka. Kegagalan Ali menyempurnakan peluang dengan baik telah memaksa beliau dikeluarkan dan diganti dengan Lorente. Kemasukan Lucas Moura juga gagal memberi keseimbangan dalam pasukan Spurs apabila serangan demi serangan tidak berjaya menghasilkan gol.
4. Kane dan Firmino dilaporkan hilang.
Kedua-dua penyerang hadir ke final Liga Juara-Juara dengan tahap kecergasan yang menjadi tanda tanya. Kedua-dua mereka gagal menyerlah untuk pasukan masing-masing. Firmino tidak berfungsi apabila segala kelebihan beliau gagal dimanfaatkan, manakala Harry Kane jelas hanya berlari ditengah padang dan tidak banyak membantu bahagian serangan. Melihat kedua-dua mereka bermain jelas mengecewakan dan tidak faham mengapa mereka disenaraikan setelah baru pulih dari kecederaan.
5. Jurgen Klopp elak badi di pentas akhir
Pengurus kelahiran Jerman merupakan salah satu daripada pengurus yang hebat dalam mengendalikan pasukan mereka ke tahap tertinggi. Apa yang telah beliau lakukan buat Liverpool dan Dortmund sememangnya membanggakan. Tetapi sejak menang ke atas Bayern Munich pada final Piala Jerman pada 2012, Klopp tewas keenam-enam aksi di pentas final. Tetapi Madrid telah membuktikan bahawa Jurgen Klopp mampu untuk mengeluarkan dirinya dari badi tersebut dan menjulang Liga Juara-Juara bersama Liverpool.