Piala Dunia 2018 Berita

Tribe Peribahasa: Iran 1-0 Morocco

“Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua”

Satu perkara mengenai bolasepak, ianya adalah satu sukan yang memerlukan kerjasama setiap pemain. Seperti kata-kata Tauke dalam Ola Bola, “Kita menang sama-sama, kita kalah sama-sama”.

Dalam perlawanan bolasepak, semua pemain perlu menunjukkan konsentrasi yang tinggi sehingga tamat perlawanan. Mereka tidak boleh leka walau sesaat, kerana jika dapat dihidu pihak lawan, mereka akan menggunakan kesempatan itu untuk menghukum mereka.

Itulah yang terjadi kepada Morocco dalam perlawanan mereka bertemu Iran. Daripada bakal memungut satu mata, Morocco nampaknya akan pulang dengan tangan kosong apabila satu kesilapan besar yang dilakukan oleh penyerang gantian, Aziz Bouhaddouz telah memberikan kemenangan kepada Iran, biarpun perlawanan itu dikuasai oleh Morocco.

Satu sepakan percuma yang dihadiahkan oleh Morocco di minit terakhir masa tambahan telah ditanduk masuk oleh Bouhaddouz dalam gawang pasukannya sendiri. Kerana kesilapannya itu, Morocco telah dihukum dan mungkin akan pulang tanpa sebarang mata di Piala Dunia ini.

Bak kata pepatah: “Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua.”