Luar Negara Piala Dunia 2018

Hirving Lozani: Kenali bintang muda Mexico yang menggegarkan skuad Die Mannschaft

Hirving Lozano.

Itulah nama wira Mexico yang berjaya mambantu skuad El Tri menewaskan juara bertahan, Jerman dalam aksi Kumpulan F di pentas Piala Dunia 2018 malam semalam.

Mexico bermain dengan cukup agresif dan walaupun seluruh dunia lebih memberi perhatian terhadap nama-nama seperti Chicharito, Guardado dan juga Carlos Vela, individu yang menjaringkan gol kemenangan dan muncul pemain terbaik Mexico adalah Hirving Lozano.

Pemain yang lahir pada tahun 1995 ini berhijrah ke PSV Eindhoven pada tahun 2017 selepas membantu Pachuca meraih gelaran CONCACAF Champions League. Ketika tahun bertamanya di Eropah, Lozano membuat 29 penampilan dan berjaya membantu PSV memenangi Liga Belanda.

Lozano sering digunakan dalam formasi 4-2-3-1, di mana beliau mampu bermain di tiga posisi berbeza di belakang penyerang utama. Namun, Lozano paling banyak digunakan sebagai pemain sayap kiri. Corak permainannya lebih kurang sama seperti Raheem Sterling - secara purata, Lozano berjaya melakukan 2.1 gelecekan dalam setiap perlawanan Liga Belanda manakala Sterling pula berjaya melakukan 1.9 gelecekan.

Selain itu, Lozano, yang turut dikenali sebagai Chucky, turut banyak melakukan 'cut-back' dalam proses menjaringkan gol, sama seperti Sterling. Dia juga sering dibandingkan dengan Alexis Sanchez, seorang lagi pemain yang suka melakukan 'cut-back' dari bahagian sayap. Kepantasan Lozano menjadikannya seorang pemain yang cukup berbahaya.

Secara purata, Lozano hanya memerlukan nisbah 3.4 percubaan bagi setiap gol, untuk meledak 17 gol di pentas Liga Belanda tahun lepas. Bintang Mexico ini turut mempunyai 'success rate' berjumlah 57% untuk setiap gelecekan yang dilakukannya.

Lozano cukup selesa menjaringkan gol dengan kaki kiri, kaki kanan, tandukan dan juga percubaan jarak jauh. Musim lepas, 58% daripada percubaannya berjaya menjadi meledak gawang pasukan lawan.

Lozano hanya bermain dengan kerap untuk skuad kebangsaan Mexico semenjak satu tahun lepas. Walaupun hanya beraksi dalam lapan perlawanan di peringkat kelayakan Piala Dunia, beliau muncul penjaring terbanyak skuad El Tri dengan 4 gol dan 3 'assists'.

Kemenangan ke atas Jerman membuktikan bahawa pemain utama Mexico di Piala Dunia 2018 bukanlah Chicharito, Carlos Vela, atau Giovani dos Santos. Pemain utama mereka adalah Hirving Lozano.