Piala Dunia 2018 Luar Negara

Analisis: Pogba bantu Perancis tumpaskan Australia, apa motif Samuel Umtiti?

Paul Pogba muncul hero Perancis selepas menjaringkan gol kemenangan untuk membantu skuad Les Bleus menewaskan Australia 2-1 dalam perlawanan yang cukup sengit di Kazan petang tadi.

Antoine Griezmann meletakkan Perancis 1-0 di hadapan melalui sepakan penalti pada minit ke-58, selepas pengadil perlawanan menggunakan teknologi VAR untuk membuat keputusan tersebut. Australia kemudiannya menyamakan kedudukan hanya empat minit kemudian, melalui satu lagi sepakan penalti, kali ini dari Mile Jedinak.

Namun, Pogba, yang sudah mula mencari rentak bersama skuad Perancis, menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-81 untuk menghadiahkan tiga mata berharga kepada pasukan Les Bleus.

Berikut adalah beberapa perkara yang kami perhatikan dalam perlawanan tersebut:

PENGGUNAAN TEKNOLOGI VAR

Buat kali pertama dalam sejarah Piala Dunia, teknologi 'Video Assistant Referee' atau VAR digunakan oleh pengadil perlawanan, untuk menghadiahkan sepakan penalti kepada Perancis pada awal babak kedua. Griezmann dijatuhkan oleh Joshua Risdan, dan pada mulanya, pengadil tidak memberi sepakan penalti. Namun selepas melihat ulang tayangan insiden tersebut, Perancis akhirnya dihadiahkan sepakan penalti, sekaligus memberi peluang kepada Griezmann untuk membuka tirai jaringan. Tidak kira anda suka atau benci terhadap konsep VAR, hari ini, teknologi tersebut membantu pengadil membuat keputusan yang tepat.

POGBA MULA MENCARI RENTAK SEMULA

Walaupun prestasi Pogba bersama Man United agak mengecewakan, petang ini merupakan bukti bahawa pemain tengah itu mampu mencari rentak apabila beraksi bersama skuad kebangsaan. Pogba nampak agak gopoh pada awal perlawanan, dan banyak melepaskan bola dengan mudah. Namun, sepakan penalti yang dihadiahkan kepada Perancis terhasil daripada hantaran jauh yang dilakukan oleh Pogba, dan pemain United itu sendiri menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-82.

GANDINGAN SAINSBURY-MILLIGAN YANG MANTAP

Antara sebab Australia berjaya memberi cabaran yang hebat kepada skuad Perancis hari ini adalah gandingan di antara Trent Sainsbury dan Mark Milligan di bahagian pertahanan Australia. Kedua-dua pemain berjaya membaca pergerakan Griezmann dengan efektif, sehingga memaksa Didier Deschamps untuk mengeluarkan pemain tersebut pada pertengahan babak kedua. Kemasukan Olivier Giroud sedikit sebanyak ada mengucar-kacirkan pertahanan Australia, namun Sainsbury dan Milligan kekal mantap.

APA MOTIF SAMUEL UMTITI?

Hanya beberapa minit selepas Griezmann meletakkan Perancis 1-0 di hadapan, Samuel Umtiti melakukan kesilapan bodoh yang membuka ruang kepada Australia untuk menyamakan kedudukan. Kesalahan 'handball' yang dilakukan oleh Umtiti tidak sepatutnya berlaku - terutamanya di pentas yang besar seperti Piala Dunia, di mana satu kesilapan mudah mampu kembali menghantui sebuah pasukan secara keseluruhan. Mujur, Pogba berjaya menjaringkan gol penyamaan, kerana jika skor perlawanan kekal 1-1, Umtiti sudah tentu akan dikritik hebat oleh media Perancis.

HARI BERSEJARAH BUAT ANDREW NABBOUT

Dua tahun lepas, Andrew Nabbout hanya sekadar bermain untuk Negeri Sembilan di pentas Liga Perdana Malaysia. Hari ini, beliau membuat penampilan pertama di pentas Piala Dunia dan berjaya menampilkan aksi yang bertenaga, biarpun berdepan dengan Raphael Varane dan Samuel Umtiti. Kisah Nabbout merupakan kisah yang patut dicontohi oleh setiap pemain muda di luar sana. Tidak kira apa dugaan yang dihadapi, jangan sesekali putus asa terhadap impian anda. Jika Nabbout mampu mengorak langkah ini dalam masa dua tahun, setiap pemain di luar sana turut mampu berbuat demikian.