Piala Dunia 2018 Luar Negara

Siapa bakal menjuarai Piala Dunia 2018? Ini pilihan tiga jurulatih Malaysia

Tiga jurulatih tempatan iaitu B. Sathianathan, Zainal Abidin Hassan dan Irfan Bakti Abu Salim nampaknya memilih pasukan gergasi bola sepak dunia, Brazil untuk menjulang trofi Piala Dunia 2018 di Rusia.

Menurut Sathia, tahun ini adalah masa terbaik untuk Brazil mengambil peluang keemasan itu kerana mereka memiliki kekuatan di setiap posisi dari pertahanan hingga ke penyerang.

“Walaupun dilaporkan baru pulih daripada kecederaan, saya yakin Neymar tetap akan menjadi kunci utama Brazil di Piala Dunia kali ini.

“Selain Neymar, Thiago Silva dan Roberto Firmino akan menjadi tulang belakang di posisi masing-masing sambil dibantu Marcelo, Pualinho, Willian dan Philippe Coutinho.

“Bila melihat barisan pemainnya, boleh dikatakan semua pemain berpengalaman serta sedang berada pada puncak karier masing-masing. Atas faktor ini saya memilih Brazil untuk muncul juara,” katanya kepada Berita Harian.

Bagaimanapun bagi Sathia, Jerman akan menjadi penghalang utama untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi empat tahun lalu.

Malah, beliau menjangkakan kejutan daripada pasukan bukan pilihan seperti Belgium dan England.

Bagi Zainal pula, kombinasi samba dan permainan ala Eropah menjadikan Brazil lebih menyerlah serta berbeza daripada pasukan generasi terdahulu.

“Dulu, Brazil banyak bergantung pada kemahiran individu serta corak samba tapi sejak ramai pemainnya beraksi di Eropah, mereka turut menerapkan permainan ala Eropah yang mengutamakan disiplin tinggi serta kerjasama berpasukan.

“Tapi tidak dinafikan, pemain seperti Neymar sangat diperlukan dalam sesebuah pasukan yang mampu menjadi pencetus kejayaan.

“Sebagai penyokong Brazil, saya memang menaruh harapan tinggi kepada mereka untuk menjulang piala. Sudah lama mereka tidak muncul juara,” katanya.

Selain itu, Zainal membariskan Jerman, Portugal, Belgium, England dan tuan rumah, Russia sebagai pencabar utama.

Bagi jurulatih Terengganu, Irfan Bakti menganggap Brazil sudah belajar daripada kekalahan 7-1 kepada Jerman di separuh akhir Piala Dunia empat tahun lalu dan yakin mereka tidak akan mengulanginya kali ini.

“Barisan kali ini lebih matang dan berdisiplin di bawah bimbingan Tite. Malah jurulatih baharu itu berjaya menerapkan corak permainan yang mantap dan menarik.

“Jerman sekali lagi akan jadi penghalang utama. Sesuatu yang menarik mengenai pasukan ini adalah mereka tidak memiliki pemain bintang setaraf Neymar, Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi, namun terkenal dengan semangat berpasukan serta kerja keras,” katanya.