Piala Dunia 2018 Luar Negara

Previu Denmark di Piala Dunia 2018: Skuad Dynamite dari Scandinavia yang sedia cipta kejutan

Menjadi wakil terakhir dari benua Eropah yang melayakkan diri ke Piala Dunia membuatkan Denmark diragui untuk tampil kompetitif di Russia. Mereka terpaksa melalui fasa play-off kerana gagal mengatasi Poland ketika peringkat kumpulan.

Berdasarkan sejarah, Denmark bukan sebuah pasukan yang berpengalaman di Piala Dunia. Edisi 2018 hanyalah penampilan kelima mereka dalam saingan itu. Pencapaian terbaik mereka hanyalah suku akhir dan ia dilakukan pada 1998 di Perancis. Empat tahun lalu, mereka gagal melayakkan diri ke pusingan akhir di Brazil.

Namun, jika melihat skuad kendalian Age Hareide ketika ini, pasukan De Rod-Hvide iaitu nama jolokan Denmark mampu melangkah yakin kerana dibarisi oleh kebanyakan pemain yang berkelana di liga besar Eropah. Sesuai dengan nama selaku pasukan Dynamite, Christian Eriksen dan rakan sepasukannya berpotensi untuk menghadirkan kejutan.

Bayangan skuad

Hareide masih menunggu sehingga dua aksi pemanas badan yang terakhir bertemu Sweden dan Mexico sebelum mengumumkan senarai 23 orang pemain yang akan dibawa ke Russia. Namun, daripada 35 nama awal yang diumumkan, nama-nama besar seperti Simon Kjaer, Eriksen, Nicolai Jorgensen dan Nicklas ‘Lord’ Bendtner yang memegang jumlah penampilan terbanyak Denmark akan menjadi tulang belakang De Rod di Piala Dunia akan datang.

Kekuatan

Pasukan Denmark terkenal sebagai sebuah pasukan yang sangat tersusun di semua bahagian and menerapkan corak bola sepak yang terus-menerus tanpa memegang bola terlalu lama. Satu faktor yang membuatkan mereka berasa istimewa berbanding negara lain adalah ketinggian pemain sayap dan serangan mereka. Lima pemain yang membarisi jentera serangan dalam skuad sementara Denmark memiliki ketinggian lebih 190 sentimeter, iaitu Jorgensen  (190cm), Andreas Cornelius (193cm), Yussuf Poulsen (193cm), Bendtner (194cm) dan Kenneth Zohore (192cm). hanya Kasper Dolberg (187cm) dan Martin Brathwaite (180cm) yang memiliki ketinggian bawah 190cm. Perebutan bola udara pastinya menjadi kelebihan Denmark di Russia nanti.

Kelemahan

Satu perkara yang menjadi kelemahan Denmark adalah mereka tidak memiliki pemain bek sayap yang berkualiti ketika ini. Nama-nama seperti Riza Durmisi (Real Betis), Nicolai Boilesen (Copenhagen), Jonas Knudsen (Ipswich Town) dan Peter Ankersen (Copenhagen) bukanlah pemain berprofil tinggi di posisi bek kanan atau kiri. Bahkan, bek tengah Chelsea, Andreas Christensen, sempat dijadikan bek kanan ketika aksi play-off kedua bertemua Republik Ireland.

Pemain utama

Emain yang akan menjadi pertaruhan utama Denmark di Russia nanti adalah Eriksen yang juga merupakan perancang utama Tottenham Hotspur. Kelibatnya sangat penting ketika menewaskan Ireland 5-1 dalam aksi play-off kedua Piala Dunia. Ketika peringkat kelayakan, pemain berjersi nombor 10 ini telah mengutip 11 gol daripada 20 jaringan Denmark dalam 10 perlawanan.

Hareide memuji Eriksen dengan menamakannya sebagai pemain bertaraf dunia selepas menyumbat hatrik sewaktu menentang Ireland untuk membawa pasukannya ke Piala Dunia. Selain Eriksen, pemain muda berusia 23 tahun, Pione Sisto, juga mampu menjadi gandingan sempurna buat Eriksen di Piala Dunia.

Jangkaan formasi

Taktikal 4-2-3-1 akan menjadi pilihan Hareide di Piala Dunia nanti. Posisi penjaga gol sudah pasti akan diisi oleh pemain Leicester City, Kasper Schmeichel. Bek tengah berkemungkinan besar akan menyaksikan gandingan Kjaer dan Christensen. Bagi posisi bek kiri, Riza Durmisi akan menggalas tugas sambil Ankersen akan bertindak di bek kanan.

Dua pemain tengah bertahan akan dibarisi oleh pembantu kapten yang juga pemain senior, William Kvist, bersama tonggak Werder Bremen, Thomas Delaney. Tiga pemain yang akan beraksi di belakang penyerang utama adalah Christian Eriksen yang akan berperanan free role bersama Pione Sisto dan Yussuf Poulsen, sementara penyerang utama akan digalas oleh Nicolai Jorgensen.

Peluang di Piala Dunia

Media tempatan di Denmark banyak merungkaikan bahawa pasukan kebangsaan mereka mampu melepasi peringkat kumpulan selaku naib juara di belakang Perancis. Namun, Peru dan Australia bukan lawan yang mudah dihadapi. Peluang untuk melepasi peringkat kumpulan sangat cerah seandainya melihat kekuatan pemain Denmark, namun segalanya sudah pasti bergantung kepada pertemuan mereka ketika aksi pembukaan dengan Peru.