Malaysia Liga Super Malaysia

Ken Ilso dedahkan sebab tinggalkan Pulau Pinang

Pemain import Ken Ilso hari ini mendedahkan beliau membuat keputusan untuk meninggalkan bekas pasukan Pulau Pinang dua minggu lalu kerana pengurusan pasukan Liga Perdana itu gagal membayar gaji selama tiga bulan sejak Februari lalu.

Katanya, sehingga kini beliau masih menanti berita daripada Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) untuk membayar semua tunggakan gajinya.

“FAP gagal membayar gaji saya selama tiga bulan iaitu Februari, Mac dan April lalu. Jadi selepas tiga bulan, berdasarkan undang-undang, saya boleh menamatkan kontrak dengan mereka.

“Sebelum itu saya sudah memberi dua surat peringatan kepada FAP mengenai tunggakan gaji dan selepas permintaan saya tidak diendahkan maka saya buat keputusan untuk keluar daripada pasukan,” katanya kepada Berita Harian.

Terdahulu, pemain berasal dari Denmark itu menandatangani kontrak dengan skuad Harimau Kumbang awal Januari lalu selepas membantu Kedah menjuarai Piala FA dan Piala Sumbangsih tahun yang lalu.

Mengulas lanjut, beliau sudah meminta bantuan Persatuan Bolasepak Denmark (DBA) untuk membawa kes berkenaan ke pengetahuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Pada masa yang sama, beliau masih berada di Malaysia dan sedang menanti sekiranya ada pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

“Saya masih lagi berada di Kuala Lumpur dan sedang mencari peluang untuk beraksi dengan pasukan lain sebelum tempoh perpindahan pemain kedua ditutup. Jika tiada mungkin saya akan cari peluang di negara lain,” katanya.