Piala Dunia 2018 Luar Negara

Previu Portugal di Piala Dunia 2018: Cabaran sebenar buat juara Euro 2016

Skuad kebangsaan Portugal akan ke Russia berbekalkan status selaku juara Eropah. Jadi, harapan pastinya menggunung untuk melihat Cristiano Ronaldo dan rakan sepasukannya melangkah jauh, bahkah untuk bergelar juara. Bagaimanapun, ramai juga yang masih belum berani untuk meletakkan mereka sebagai calon utama untuk menjulang trofi Piala Dunia 2018.

Masih ramai yang berpendapat bahawa kejayaan Portugal di Piala Eropah 2016 disebabkan faktor nasib. Lebih-lebih lagi jika melihat kepada kempen Piala Dunia 2014. Ketika itu, mereka gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.

Kegusaran tetap membayangi mereka di Piala Dunia 2018. Walaupun memiliki barisan pemain berkualiti di barisan depan, Portugal sebenarnya mempunyai kelemahan ketara. Beberapa pemain utama mereka sudah memasuki usia melebihi 30 tahun, termasuk Ronaldo sendiri. Pada usia itu, kesegaran dan konsentrasi untuk beraksi di pentas sebesar Piala Dunia adalah satu cabaran sebenar.

Skuad Portugal di Piala Dunia 2018 ini sememangnya bukan daripada generasi emas yang melangkah ke separuh akhir edisi 2006. Namun, Ronaldo selaku tunjang utama asukan Selecao das Aquinas tidak boleh dipandang rendah.

Jangkaan formasi

Skuad yang dikendalikan oleh Fernando Santos untuk Piala Dunia 2018 ini tidak bayak beza dengan pasukan yang menjuarai Piala Eropah 2016. Rui Patricio masih menggalas tugas di gawang dan begitu juga dengan tanggungjawab di bahagian pertahanan yang dipegang oleh Laveran de Lima atau Pepe selepas Ricardo Carvalho bersara. Bruno Alves atau Jose Fonte bakal menjadi gandingan Pepe.

Di bahagian bek sayap, Portugal dilihat memanfaatkan tenaga muda yang dimiliki Cedric Soares dan Raphael Guerreiro. Banyak pihak yang terkejut apabila Santos tidak meletakkan kepercayaan buat pemain Barcelona, Nelson Semedo. Namun, apa yang dipilih dirasakan sudah mencukupi.

Agak menarik apabila melihat barisan tengah yang dipenuhi nama-nama berkualiti. Joao Moutinho diyakini mampu kembali mengaturkan serangan seperti Piala Eropah 2016 yang lalu. Joao Mario dan Bernardo serta beberapa pemain sayap seperti Gelson Martins hingga Goncalo Guedes akan membantu Ronaldo untuk mendapatkan jaringan. Lambakan kualiti yang dimiliki menjadi cabaran buat Santos untuk memilih pemain terbaik. Aksi bertemu Sepanyol di peringkat kumpulan dijangka akan menjadi sangat menarik.

Pemain Kunci: Cristiano Ronaldo

Sesetengah pihak menganggap kewujudan Ronaldo membuatkan ramai peminat bola sepak mahu menyaksikan persembahan Portugal. Selepas Eusebio dan Luis Figo, apa yang diraih Ronaldo sememangnya luar biasa. Pelbagai catatan manis di peringkat kelab bersama Manchester United dan Real Madrid telah diteruskan di Piala Eropah 2016. Sebagai katen, dia membawa Selecao das Aquinas ke status juara. Kini, pada usia yang menjengah 33 tahun, mungkin ia menjadi peluang terakhir untuk menjadi juara dunia.

Kekuatan

Selain Ronaldo, Portugal benar-benar memiliki pelbagai pilihan di bahagian serangan. Daripada pemain veteran seperti Ricardo Quaresma sehingga bintang muda seperti Andre Silva dan Goncalo Guedes, masing-masing amat berbakat. Wira Piala Eropah 2016, Eder, tidak lagi dipanggil tetapi berbekalkan nama-nama di atas, Portugal layak untuk digeruni.

Kelemahan

Kelemahan Portugal sebenarnya terletak pada usia pemain. Jika barisan serangan yang veteran masih diyakini, perkara sebaliknya berlaku di bahagian bawah. Tonggak utama seperti Pepe, Bruno Alves dan Jose Fonte sudah memasuki usia 34 tahun. Trio itu dibantu oleh pemain lebih muda seperti Cedric dan Guerreiro. Untuk peringkat kumpulan, mereka pemain-pemain ini mampu bersaing tetapi cabaran berbeza menanti di pusingan kalah mati.

Peluang

Hanya Sepanyol yang mampu menjadi ancaman bagi mendapatkan tiga mata. Layak ke pusingan kedua adalah sasaran yang logik buat Ronaldo dan rakan sepasukannya. Namun, jika mereka mengambill ringan, Iran dan Maghribi mampu menjadi penghalang.