Malaysia Liga Super Malaysia

Kelantan lepaskan penjaga gol, ambil pemain Kuantan FA

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan mengesahkan penjaga golnya, Ramadhan Hamid akan menyertai Kedah pada jendela perpindahan kedua musim ini.

Pada masa yang sama, Kelantan turut menandatangani bekas pemain Kuantan FA, Ahmad Haziq Fuad yang bebas menyertai mana-mana pasukan selepas pasukannya disingkirkan daripada saingan liga akibat berdepan masalah kewangan.

“Ya Ramadhan sah akan keluar dari pasukan ini dan hari ini KAFA akan membuat surat pelepasan kepadanya untuk menyertai Kedah.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan perbincangan yang dipersetujui antara kedua pihak dan Ramadhan juga seorang pemain yang boleh bertolak ansur.

“Beliau mahu beraksi dan kalau masih bersama Kelantan pun dia jarang dapat diberi peluang, jadi kita terima kehendaknya untuk berhijrah ke Kedah,” katanya kepada Berita Harian.

Bagi pemain baharu, Ahmad Haziq pula, Bibi menganggap KAFA telah memanfaatkan jendela perpindahan kedua ini dengan mengikat pemain pertahanan muda tersebut.

“Kita mengikat kontrak seorang pemain tempatan untuk pasukan yang bermain di posisi pertahanan, Ahmad Haziq.

“Ini juga bagi memantapkan lagi bahagian pertahanan memandangkan pasukan masih memerlukan pemain pertahanan. Jadi kita harap kemasukan pemain muda seperti Ahmad Haziq memberi kesan positif terhadap pasukan,” katanya.

Ahmad Haziq merupakan pemain kedua yang ditandatangani Kelantan selepas pemain import baharu, Alaeddine Bouslimi yang menggantikan Nik Shahrul Azim yang berhijrah ke PKNS FC.