Luar Negara Eropah

Arsene Wenger dokong Mikel Arteta sebagai pilihan untuk terajui Arsenal

Arsene Wenger, bekas pengurus Arsenal, menyatakan jurulatih Manchester City, Mikel Arteta mempunyai keseluruhan kualiti yang diperlukan untuk menggantikan tugas beliau di kelab yang berpengkalan di utara London itu.

Bekas pemain Sepanyol berusia 36 tahun itu telah menghabiskan masa selama lima musim bersama Arsenal di bawah kendalian Arsene Wenger. Dokongan terbuka oleh bekas pengurusnya itu akan menguatkan lagi peluang untuk beliau menduduki kerusi panas di Stadium Emirates.

“Dia mempunyai kualiti untuk menjalankan tugas itu, ya dan saya fikir dia juga salah seorang calon pilihan ramai.” kata Wenger kepada beIN Sports.

“Dia seorang pemimpin, mempunyai semangat tinggi dalam permainan dan sangat mengenali kelab ini, dia tahu apa yang penting untuk kelab dan dia juga merupakan bekas kapten.” tambah Wenger lagi.

Musim ini beliau cemerlang menjalankan tugas selaku staf kejurulatihan di bawah Pep Guardiola di Manchester City dan tidak pernah lagi mengurus mana-mana pasukan.Hal ini sedikit sebanyak menggusarkan para penyokong skuad The Gunners.

Namun, Wenger tetap percaya, Arteta berpeluang mendapat tunjuk ajar dan manfaat daripada staf kejurulatihan skuad utamanya seperti Steve Bould dan Jens Lehmann yang masih lagi bersama Arsenal.

“Saya telah meninggalkan banyak pengalaman bersama beberapa orang staf terutamanya Steve Bould yang telah berkhidmat bersama saya selama enam tahun dan juga Jens Lehmann. (Arteta) dia juga telah berkhidmat sebagai pembantu Guardiola, saya fikir dia mempunyai kualiti secara keseluruhannya.”

Walaubagaimanapun, Wenger tidak mencampuri urusan kelab dalam mencari penggantinya.

“Saya tidak mahu mempengaruhi secara terbuka kerana saya percaya mereka perlu membuat keputusan mereka secara obejktif dan apabila mereka membuat keputusan, saya akan menyokongnya.” katanya lagi.

“Jika kelab bertanyakan pendapat kepada saya, saya akan memberikan pendapat saya. Kerana saya mahu kelab saya dalam keadaan baik dan bermain di peringkat tertinggi. Tetapi mereka tidak bertanyakan saya, jadi beban itu bukan di atas bahu saya.”

Perbincangan antara kedua-dua pihak dikhabarkan telah berjalan. The Gunners berusaha untuk melantik pengurus baru secepat mungkin supaya dapat menarik nama-nama besar dalam jendela perpindahan musim panas nanti.