Malaysia Liga Super Malaysia

Kuala Lumpur sah bawa bekas pemain Manchester United ke Stadium KLFA

Nampaknya bukan calang-calang pemain yang akan dibawa Kuala Lumpur ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras dalam jendela perpindahan kedua ini.

Tidak mahu kalah dengan pasukan lain, Kuala Lumpur bakal membawa bekas pemain sayap Manchester United, Andrei Kanchelskis bersama pasukan!

Tetapi kepada penyokong Kuala Lumpur, jangan gembira dulu, sebenarnya Kanchelskis bukanlah datang untuk menggantikan tempat Junior Aparecido, tetapi ini adalah salah satu cara Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur mahu menarik lebih remain penyokong ke stadium.

Bekas pemain sayap Manchester United dan Everton itu akan menjadi tetamu khas pada perlawanan menentang Kelantan pada hari Selasa nanti. Kehadiran Kanchelskis itu adalah bagi sesi bertemu peminat di mana peminat bertuah akan juga menerima hadiah misteri pada hari Selasa ini.

Ini merupakan satu idea bijak daripada Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur kerana kita sedia maklum, pada bulan puasa biasanya tidak ramai peminat yang mahu turun ke stadium.

Selain itu, mereka bukan sahaja boleh menarik penyokong Kuala Lumpur, tetapi juga dapat menarik penyokong Manchester United yang mungkin sebelum ini tidak pernah menjejak kaki ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Bukan calang-calang pemain yang hadir ke Stadium Cheras tahun ini. Sebelum ini bekas pemain Kuala Lumpur seperti Azman Adnan dan Fandi Ahmad pernah hadir dan kini Kanchelskis pula. Mungkin selepas ini Lionel Messi? Atau Cristiano Ronaldo? Harapannya peminat akan mula hadir ke Stadium KLFA untuk perlawanan selepas ini.