Luar Negara Berita

Perjalanan indah Yuya Osako dari FC Koln ke Werder Bremen di Jerman

Bermain di salah satu liga elit Eropah yang diakui sebagai antara pentas terbaik di dunia adalah keinginan setiap pemain profesional yang ada di dunia. Tidak hairan jika mereka berusaha bermati-matian untuk meraih peluang beraksi di pentas paling tinggi di setiap liga.

Salah satu nama yang mungkin tidak begitu asing terutamanya peminat Bundesliga Jerman adalah penyerang dari Jepun, Yuya Osako. Didapatkan oleh FC Koln pada tahun 2014, pemain kelahiran Kaseda itu berjaya menampilkan aksi hebat sepanjang beraksi di Stadium Rhein-Energie.

Berdasarkan laman web Transfermarkt, sepanjang menyarung jersi Die Geirbocke, Osako telah beraksi dalam 120 perlawanan. Dalam kesemua aksi itu, pemain berusia 27 tahun ini telah menjaringkan 19 gol dan 18 bantuan jaringan. Sesuatu yang membanggakan walaupun tidak menonjol.

Malangnya pada 2017/18, Osako gagal membantu Koln dari terjerumus ke liga bawahan sehingga mengakibatkan mereka akan bersaing di pentas 2. Bundesliga pada musim depan. Bagaimanapun, minat yang ditunjukkan oleh pasukan lain terhadap Osako tidak berlalu begitu sahaja.

Baru-baru ini, memetik daripada akaun Twitter rasmi Werder Bremen mendapati mereka telah bersetuju untuk membawa masuk Osako ke Stadium Weser, pengkalan skuad kendalian Florian Kohfeldt. Perpindahan itu dilaporkan berjumlah EUR5.4 juta dan Die Werderaner bersetuju untuk membayarnya.

Bagi Osako sendiri, perpindahan ke Bremen menjadi bukti bahawa saingan di Jerman terutamanya Bundesliga sangat sesuai dengannya. Buktinya, ketika Koln diturunkan ke liga bawah dan walaupun dia masih memiliki kontrak berbaki dua musim lagi, Die Werderaner hadir mendapatkannya, sekaligus menjadi sesuatu yang boleh dikatakan hebat di tanah Bavaria.

Pengurusan Bremen menyambut kedatangan Osako dengan baik setelah terlebih dahulu menyelesaikan perpindahan Kevin Mohwald. “Kami sangat gembira dengan kedatangan Osako. Penampilannya yang terbiasa dengan keadaan di Jerman membuatkannya sangat berguna untuk strategi permainan yang telah dibawakan oleh Kohfeldt. Tambahan, dia memiliki pengalaman di sini,” ujar Frank Baumann, pengarah sukan Bremen yang dipetik daripada laman web pasukan.

Seperti Baumann, Kohfeldt juga melahirkan rasa gembiranya setelah pasukan berjaya menyelesaikan perpindahan Osako. Pengurus berusia 35 tahun itu menjelaskan bahawa Osako adalah pemain yang barisan depan yang kuat, kreatif dan memiliki pergerakan yang bagus.

Dia juga yakin sekiranya pemain skuad kebangsaan Jepun yang disenaraikan dalam pasukan awal untuk Piala Dunia 2018 itu mampu membantu Die Werderaner agar meraih pencapaian yang lebih baik dalam saingan Bundesliga musim depan.