Malaysia Liga Super Malaysia

Pertama kali berpuasa di perantauan, ini luahan Evan Dimas

Pemain import Selangor yang berasal dari Indonesia, Evan Dimas memperoleh pengalaman manis dan baharu apabila berpuasa buat pertama kalinya di perantauan.

Katanya, beliau sudah biasa beraksi pada bulan Ramadan ketika bermain untuk pasukan Bhayangkara FC di negaranya sebelum ini, namun berharap dapat menyambut Ramadan dengan lebih meriah di Malaysia.

“Bukan satu perkara yang janggal buat saya kerana semasa bersama Bhayangkara FC musim lalu, aksi liga tetap berlangsung pada bulan Ramadan.

“Jadi, berbekalkan pengalaman sama, saya optimis dapat mengekalkan prestasi dan kecergasan supaya sentiasa berada pada tahap yang terbaik sekali gus membantu pasukan mencatatkan kemenangan.

“Saya bersyukur mendapat pengalaman berpuasa sebagai seorang perantauan. Saya hanya bersahur berseorangan awal pagi.

“Mungkin selepas ini saya akan mendapat peluang bersahur bersama rakan sepasukan apabila beraksi di tempat lawan pula,” katanya kepada Berita Harian.

Selangor ketika ini berada di kedudukan kelapan liga setelah mengumpulkan 11 mata, ketinggalan tiga mata dibelakang PKNP FC yang mengutip 14 mata dan hanya satu mata sahaja kelebihan di hadapan Kuala Lumpur dan Melaka United.

Pada bulan Ramadan ini, Selangor akan bertemu PKNP FC di laman lawan pada 23 Mei sebelum tiga aksi berturut-turut di laman sendiri menentang Kedah (26 Mei), disusuli Kelantan (1 Jun) dan PKNS FC (6 Jun) sebelum menentang PKNS FC di laman lawan (10 Jun).