Malaysia Kajian & Analisis

Analisis: Perak seri tanpa jaringan dengan Melaka, Apek tampil cemerlang dalam ‘debut’

Pasukan Perak dan pasukan Melaka terikat seri tanpa jaringan dalam satu perlawanan Unifi Liga Super pada malam tadi.

Kedua-dua pasukan masing-masing memperoleh peluang yang banyak namun gagal memanfaatkan peluang tersebut disamping aksi cemerlang kedua-dua penjaga gol iaitu Khairul Fahmi dan Hafizul Hakim.

Berikut merupakan pemerhatian kami sepanjang perlawanan tersebut:

Khairul Fahmi jelas merupakan suatu penambahbaikan kepada pilihan penjaga gol pasukan Melaka.

Pasukan Melaka seharusnya berterima kasih kepada Khairul Fahmi kerana banyak kali menyelamatkan gawang mereka daripada dibolosi. Berhadapan dengan jentera serangan pasukan Perak yang sangat kerap melakukan percubaan, Khairul Fahmi tenang melakukan satu persatu aksi menyelamat, terutamanya aksi menyelamat tandukan daripada Leandro dos Santos pada minit ke-64.

R. Gopinathan sangat berbahaya di bahagian sayap

Jelas sekali, gerakan-gerakan berbahaya pasukan Melaka berpunca daripada Gopinathan yang sangat bermaharajalela di bahagian sayap. Beliau juga sering kali berjaya memotong daripada bahagian kiri ke tengah untuk menembusi pertahanan pasukan Perak, namun dikecewakan oleh rakan serangan beliau yang tidak membantu.

Rafiuddin Roddin mampu menggalas tugas Nazirul Naim

Ketika Perak mengikat Rafiuddin Roddin pada awal musim, mereka tidak menyedari yang mereka sebenarnya mempunyai 2 pilihan bek kiri yang kompeten serta nadi kepada pasukan Pulau Pinang sebelumnya. Akhirnya melakukan penampilan pertama apabila masuk menggantikan Nazirul Naim yang tercedera, Rafiuddin terus menunjukkan impak segera apabila menghasilkan hantaran-hantaran lintang yang berbahaya daripada sayap kiri kepada jentera serangan Perak.

Kedua-dua pasukan gagal memanfaatkan lambakan peluang

Secara jelasnya, aksi kedua-dua penjaga gol iaitu Hafizul Hakim dan Khairul Fahmi terutamanya layak diberikan pujian atas aksi-aksi menyelamat mereka pada malam tadi. Namun, itu tidak bermakna bahagian serangan kedua-dua pasukan tajam di hadapan gawang lawan masing-masing, kerana kedua-dua jentera serangan pasukan gagal memanfaatkan peluang masing-masing untuk menjaringkan gol. R Gopinathan wajar berasa kecewa kerana rakan-rakan serangannya gagal menyudahkan peluang-peluang yang dicipta oleh beliau manakala serangan pasukan Perak rata-rata gagal menemui gawang gol dengan percubaan-percubaan mereka.

Pasukan Perak melepaskan peluang untuk menghambat pendahulu liga

Pasukan Perak mempunyai kelebihan beraksi di tempat sendiri pada minggu perlawanan ini, namun malangnya mereka gagal memanfaatkan kelebihan tersebut apabila gagal meraih 3 mata penuh menentang pasukan Melaka pada malam tadi. Dengan pendahulu liga juga keciciran mata pada malam tadi, seharusnya pasukan Perak menyedari betapa ruginya mereka gagal meraih 3 mata penuh untuk terus menghambat pendahulu liga.