Malaysia Kajian & Analisis

Analisis: Pahang terus keciciran mata, Faiz Nasir bantu Sang Penyu bawa pulang tiga mata

Pasukan Pahang telah ditumpaskan oleh pasukan Terengganu di Kuantan dalam perlawanan Unifi Liga Super semalam.

Faiz Nasir menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-61 apabila menyudahkan hantaran lintang Tchetche Kipre hasil satu gerakan serangan balas oleh para pemain pasukan Terengganu.

Berikut merupakan pemerhatian kami sepanjang perlawanan tadi:

Stamping, kad kuning atau kad merah?

Pada minit ke-29, berlaku insiden ‘stamping’ yang dilakukan oleh Adib Aizuddin kepada Kogileswaran Raj. Pengadil perlawanan, Fitri Maskon telah membuat keputusan untuk melayangkan kad kuning terhadap Adib atas kekasaran tersebut. Mungkin agak terburu-buru, namun kami berpendapat Jawatankuasa Pengadilan perlu meletakkan kesalahan ‘stamping’ sebagai kesalahan kad merah secara terus, sekiranya ia belum digazetkan sebagai kesalahan kad merah secara terus.

Faisal Halim sangat efektif dan berbahaya di bahagian kanan

Faisal Halim merupakan antara pemain yang beraksi baik sepanjang perlawanan tadi. Beliau sangat berbahaya dengan larian-larian yang dilakukan oleh beliau yang konsisten mengancam untuk menembusi pertahanan pasukan Terengganu. Dengan prestasi beliau sejak akhir-akhir ini, peminat pasukan Pahang mungkin boleh menjangkakan persaingan yang sengit antara beliau dan Mohamadou Sumareh untuk posisi kesebelasan utama di sayap kanan kelak.

Lee Tuck diberikan kebebasan merangka gerakan-gerakan pasukan Terengganu

Bagi pasukan Terengganu, kami melihat pergerakan-pergerakan mereka banyak direncanakan oleh Lee Tuck kepada kuartet serangan mereka iaitu Faiz Nasir, Bruno Suzuki, J Partiban dan Tchetche Kipre. Sambil itu, Lee Tuck sendiri juga memperoleh beberapa peluang untuk pasukan Terengganu, terutamanya sepakan percuma pada lewat separuh masa pertama yang hampir menewaskan Helmi Eliza.

Faiz Nasir beraksi cemerlang dan efektif

Faiz Nasir juga banyak melakukan larian-larian yang efektif dalam perlawanan ini yang berjaya menembusi pertahanan pasukan Pahang. Gol pasukan Terengganu dalam perlawanan ini juga hadir menerusi larian beliau yang agak lewat memasuki kotak penalti pasukan Terengganu, seterusnya menjustifikasikan corak permainan beliau pada perlawanan tadi.

Pahang harus memanfaatkan kelebihan aksi tempat sendiri.

Prestasi di tempat sendiri merupakan aspek yang penting untuk sebuah pasukan mencabar kejuaraan liga. Namun, pasukan Pahang dalam beberapa perlawanan terakhir mereka di Kuantan jelas tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan apabila gagal mengutip tiga mata penuh dalam 2 perlawanan yang terakhir, termasuk pada malam tadi. Jika pasukan Pahang tidak memperbaiki prestasi mereka di tempat sendiri kelak, maka mereka sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada cabaran untuk menjuarai Unifi Liga Super pada musim ini.