Asia Asia Tenggara

Sukan Asia 2018: Thailand rancang adakan perlawanan persahabatan menentang Indonesia

Di sebalik persiapan kelab-kelab di seluruh Asia Tenggara dalam liga masing-masing, jangan dilupa juga persiapan semua skuad kebangsaan di Asia Tenggara menjelang Sukan Asia yang akan berlangsung di Jakarta pada Ogos nanti.

Pastinya semua pasukan Asia Tenggara mahu menggunakan kelebihan beraksi di rantau sendiri untuk menunjukkan aksi terbaik dan menaikkan nama rantau ini. Antara persiapan yang biasa dilakukan adalah mengadakan perlawanan persahabatan, dan sudah tentu banyak pasukan berminat mahu mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan tuan rumah bagi menyesuaikan diri dengan gelanggang perlawanan.
Terbaru, skuad bawah 23 tahun Thailand dilaporkan telah menyatakan keinginan mereka untuk mengadakan perlawanan persahabatan menentang skuad bawah 23 tahun Indonesia di Jakarta.

Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun Thailand, Worrawoot Srimaka menyatakan rancangan mereka untuk mengadakan perlawanan tersebut dalam satu laporan Siamsport.

“Saya mengesahkan bahawa kami telah menghubungi Indonesia. Kami mahu mengadakan perlawanan persahabatan di sana sekaligus menyesuaikan diri dengan stadium yang akan menjadi gelanggang untuk Sukan Asia.

“Kami juga telah menghubungi pasukan-pasukan lain daripada Timur Tengah tetapi saya tidak boleh sebut namanya. Yang pasti, kami mahu mengadakan perlawanan persahabatan di tempat lawan.”

Sukan Asia 2018 akan berlangsung di Indonesia pada 18 Ogos sehingga 2 September 2018.

Tujuh stadium telah dikatakan akan menjadi lokasi bagi acara bolasepak iaitu Stadium Utama Gelora Bung Karno (Jakarta), Stadium Si Jalak Harupat, Stadium Gelora Bandung Lautan Api (Bandung), Stadium Patriot, Stadium Wibawa Mukti (Bekasi), Stadium Pakansari (Bogor) dan Stadium Gelora Sriwijaya (Palembang).