Berita Asia

Persib Bandung berminat dapatkan pemain kebangsaan Vietnam

Musim ini kita sering mendengar perpindahan pemain dari negara-negara Asia Tenggara ke Malaysia dan sebilangan kecil ke Thailand. Biarpun liga-liga lain juga menggalakkan kehadiran pemain dari Asia Tenggara ke liga mereka, tetapi kurang mendapat sambutan.

Kelab Liga 1 Indonesia, Persib Bandung dikhabarkan berminat untuk mendapatkan salah seorang pemain terbaik skuad kebangsaan Vietnam, Luong Xuan Truong.

Xuan Truong yang beraksi di bahagian tengah merupakan pemain Hoang Anh Gia Lai tetapi sejak 2016 telah dipinjamkan ke kelab Korea Selatan, Incheon United dan Gangwon FC.

Media Vietnam melaporkan bahawa ketua jurulatih Persib Bandung berminat untuk membawa pemain tersebut ke Persib Bandung bagi menggantikan tempat bekas pemain Chelsea dan Real Madrid, Michael Essien yang telah dilepaskan.

Pemain berusia 23 tahun ini juga pernah beraksi untuk skuad bawah 19 dan 23 tahun Vietnam dan kini beraksi bersama skuad senior Vietnam.

Biarpun membawa masuk bekas ketua jurulatih Johor Darul Ta’azim (JDT), Mario Gomez, yang pernah menjuarai Piala AFC, kedudukan Persib Bandung di Liga 1 Indonesia agak mengecewakan apabila sekadar berada di tempat ke-15. Persib Bandung setakat ini sekadar memungut 8 mata selepas mencatat 2 kemenangan daripada 6 perlawanan Liga 1 Indonesia.