Luar Negara Eropah

Real Madrid lawan Liverpool: Pertembungan di antara dua corak permainan yang sama di Kiev

Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim 2017/18 telah sampai ke peringkat akhir. Apa yang menarik, dua pasukan yang layak ke final adalah skuad yang tidak begitu menonjol di peringkat kumpulan. Real Madrid pada awal kempen di edisi kali ini tampil dengan rentak yang perlahan selepas menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga kedua di belakang Tottenham Hotspur. Prestasi mereka yang tidak meyakinkan di pentas LaLiga juga membuatkan harapan tidak diletakkan kepada Luka Modric dan rakan sepasukannya.

Jika Madrid telah mengejutkan, kejayaan Liverpool ke fina tentu lebih menarik. Secara kasar, banyak lagi pasukan lain yang lebih hebat berbanding The Kop tetapi kesabaran anak didik Jurgen Klopp akhirnya berbayar.

Dalam laluan kedua-dua pasukan ini ke final, kemaraan Madrid dilihat lebih sukar berbanding Liverpool. Selepas melepasi peringkat kumpulan, Los Blancos terpaksa berdepan Paris Saint-Germain (PSG) di pusingan kedua. Namun, PSG tidak dapat membendung Madrid walaupun memiliki Neymar dan bintang muda, Kylian Mbappe, disebabkan faktor pengalaman.

Selepas PSG, Madrid terpaksa meneruskan usaha bertemu Juventus di suku akhir. Bagaimanapun, skuad The Old Lady tidak mampu menghalang kehebatan Cristiano Ronaldo walaupun terlepas peluang menerusi keputusan pengadil, Micheal Oliver, di aksi timbal-balik. Di separuh akhir, Bayern Munich menjadi mangsa Madrid yang seterusnya.

Sementara Liverpool, mereka tidak melalui cabaran yang sukar seperti Los Blancos. Selepas menamatkan peringkat kumpulan di tangga teratas, mereka dengan mudah menundukkan FC Porto di pusingan kedua. Manchester City dan AS Roma menjadi mangsa mereka di suku akhir dan separuh akhir tetapi sudah pasti ia tidak sehebat Madrid yang mengatasi Juventus dan Bayern.

Bagaimanapun, tidak kira Liverpool atau Madrid telah menunjukkan bahawa mereka mampu memadamkan tanggapan dan tampil hebat untuk ke final. Sebaliknya, aksi perlawanan akhir itu dinanti-nantikan peminat kerana berpotensi untuk menyajikan aksi bola sepak yang menghiburkan.

Terdapat satu perkara menarik dalam pertemuan Liverpool dan Madrid. Daripada segi permainan, kedua-dua pasukan sebenarnya memiliki permainan yang agak serupa. Mereka memiliki barisan serangan yang sangat tajam, terkenal dalam memadam asakan lawan sebelum melakukan serangan balas.

Untuk aspek ofensif, Liverpool dilihat lebih unggul pada musim ini apabila mengutip 40 gol di pentas UCL pada musim ini sambil Madrid ketinggalan 10 gol tetapi Ronaldo setakat ini sudah mencatat 15 jaringan UCL bagi musim 2017/18. Justeru, kedua-dua pasukan boleh dikatakan memiliki kelebihan serangan yang terbaik di Eropah.

Wartawan senior di Eropah, Mark Ogden, menulis di ESPN bahawa pertemuean antara Liverpool dan Madrid berpotensi meraih banyak jaringan. Ia disebabkan bukan hanya barisan serangan yang hebat tetapi kedua-dua pasukan juga mempunyai benteng yang mudah ditembusi.

Setakat ini, skuad kendalian Zinedine Zidane telah dibolosi 15 gol sementara Liverpool 13. Walaupun benteng Madrid dibarisi Sergio Ramos dan Raphael Varane, mereka sering melepaskan gol yang merugikan. Selain itu, Keylor Navas juga tampak mudah melakukan kesilapan mudah walaupun tampil hebat ketika bertemu Bayern.

Situasi sama juga berlaku kepada barisan bawah The Kop. Kehadiran Virgil Van Dijk jelas sangat membantu, namun Dejan Lovren tetap Lovren, Trent Alexander Arnold masih cetek pengalaman dan Loris Karius juga sering melepaskan gol mudah, sama seperti Navas.

Berdasarkan fakta ini, aksi di Kiev nanti tentunya akan dimenangi oleh pasukan yang lebih berkesan di depan gol lawan. Secara statistik, tentunya Liverpool lebih unggul kerana berupaya menjaringkan gol hanya melalui jumlah 189 percubaan berbanding Madrid (208).

Gandingan Roberto Firmino, Sadio Mane dan Mohamed Salah sudah pasti akan menjadi kunci utama buat Klopp. Bagaimanapun, tugas mereka tidak akan mudah kerana anak-anak buah Zidane sangat terkenal dalam menyesuaikan diri dengan aksi lawan. Malah, kualiti Madrid di atas kertas jelas lebih baik terutamanya di bahagian tengah.

Casemiro, Toni Kross dan Modric tentu akan sukar dikekang oleh jentera tengah Liverpool, dan apabila Madrid menguasai bahagian tengah dengan selesa, sudah tentu sukar buat Liverpool untuk melakukan serangan balas. Bukan setakat itu, Madrid juga mempunyai faktor X dalam diri Ronaldo yang mencipta apa sahaja dalam situasi yang sempit.

Madrid tentunya memiliki keunggulan, namun memandang rendah terhadap Liverpool adalah sesuatu yang tidak bijak. Sudah pasti kita masih ingat bagaimana The Reds menewaskan Manchester City di suku akhir. Berbekalkan perwatakan yang sama, aksi antara Liverpool dan Madrid pada 27 Mei ini akan menarik perhatian penonton neutral. Bagi penyokong kedua-dua pasukan ini, kemungkinan besar jantung mereka akan berdegup kencang melihat serangan yang dilancarkan oleh kedua-dua pasukan.