Malaysia Liga Super Malaysia

JDT tambah rentak samba, dapatkan penyerang Brazil

Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’azim hari ini mengumukan bahawa mereka sudah mencapai persetujuan untuk mendapatkan penyerang import baru, Jorge Santos Silva.

Penyerang dari Brazil itu akan menyertai JDT daripada kelab Arab Saudi, Al-Batin FC apabila jendela perpindahan dibuka nanti.

Jorge Santos Silva pernah beraksi untuk beberapa kelab di Liga Malta seperti Tarxien Rainbows, Naxxar Lions dan Hibernians FC sebelum beraksi untuk Al Batin.

Bersama Al-Batin, penyerang berusia 31 tahun itu menjaringkan 27 gol dan membuat dua bantuan gol dalam 48 perlawanan.

Dengan kehadiran Jorge Santos ini, lengkaplah barisan pemain import JDT selepas kehilangan Jorge Pereyra Diaz dan Luciano Figeuroa. Sebelum ini, JDT turut mendapatkan seorang lagi pemain bahagian serangan Harry Novillo selain daripada adik kepada Natxo Insa, Kiko Insa untuk membantu bahagian pertahanan.

JDT kini mendahului Liga Super selepas memungut 21 mata hasil tujuh kemenangan dan satu kalah. Satu-satunya kekalahan JDT di Liga Super pada musim ini adalah kepada Kuala Lumpur ketika beraksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.