Menjelang proses undian Piala AFF Suzuki yang akan berlangsung pada 2 Mei ini di Jakarta, semua pasukan sudah mula melakukan persiapan dan bersedia untuk mengetahui siapakah yang akan menjadi pihak lawan masing-masing.
Pemain pertahanan Pahang dan Malaysia, Matthew Davies dalam satu wawancara bersama laman web AFF Suzuki Cup menyatakan bahawa Malaysia kini sudah bersedia terutamanya selepas aksi mantap yang ditunjukkan pasukan bawah 23 tahun Malaysia di Kejohanan Piala AFC yang lalu.
“Kami sedang melalui proses transisi buat masa ini tetapi ada rasa yang baik menjelang Piala AFF Suzuki terutamanya selepas melihat aksi pemain skuad bawah 23 tahun negara serta pengalaman pemain-pemain berpengalaman yang ada dalam pasukan dan kami harap kombinasi ini akan membuahkan hasil.
“Kami tiada jangkaan yang terlalu tinggi tetapi bagi pasukan seperti Thailand, Vietnam dan Filipina pastinya mempunyai jangkaan yang lebih tinggi selepas kejayaan mereka (layak ke Piala Asia).
“Secara peribadi untuk saya, saya telah belajar banyak menerusi pengalaman beraksi pada tahun 2016 dan kini lebih memahami mengenai Piala Suzuki, belajar mengenai sejarah kejohanan ini dan persaingan dia ntara negara-negara yang bertandin jadi saya teruja untuk melihat sejauh mana kami boleh pergi pada tahun ini.
Kejohanan Piala AFF Suzuki sebelum ini sering berlangsung dengan dua pasukan menjadi negara tuan rumah, tetapi bagi edisi kali ini, semua pasukan akan beraksi di laman sendiri dan berkunjung ke tempat lawan di peringkat kumpulan. Dengan penukaran format itu, Davies berharap penyokong Malaysia akan membanjiri stadium untuk setiap perlawanan.
“Saya rasa ianya satu perubahan yang bagus untuk melibatkan semua negara bertanding supaya anda akan sentiasa rasa dekat dengan semua perlawanan. Saya yakin kami akan dapat sokongan padu di setiap perlawanan di tempat sendiri.”