Luar Negara Santai

Barisan bintang bola sepak yang menamatkan karier bersama kelab yang tidak dikenali ramai

Secara umum, kebanyakan pemain bola sepak berkelas dunia akan mengakhiri karier mereka bersama pasukan di tanah kelahiran atau skuad yang mereka sertai sewaktu memulakan langkah pertama.

Pilihan lain yang digunakan adalah menyertai kelab di liga serata dunia yang sedang berkembang seperti Liga China, Jepun atau Amerika Syarikat (MLS). Namun, terdapat beberapa pemain yang memilih untuk menutup kisah bola sepak mereka bersama pasukan yang tidak dikenali orang ramai dalam dunia bolasepak. Siapakah mereka?

 Raul Gonzalez (New York Cosmos)

Ketika ini, ramai pemain yang berhijrah ke Amerika Syarikat. Catatan menunjukkan mereka banyak menyertai Major League Soccer (MLS), jadi sebab itu ramai yang terkejut apbila legenda Real Madrid, Raul Gonzalez, memilih untuk ke New York Cosmos kerana pasukan itu adalah salah sebuah pasukan yang bersaing dalam saingan North American Soccer League (NASL), iaitu liga bawahan Amerika Syarikat.

Michael Essien (Persib Bandung)

Pemain ini sangat dikenali. Legenda skuad kebangsaan Ghana ini baru saja meluahkan hasrat untuk bersara selepas dilepaskan oleh pasukan dari Liga Indonesia, Persib Bandung. Bagi warga Eropah, keputusan Essien ke Indonesia adalah satu penurunan taraf selepas beraksi buat Chelsea dan Real Madrid.

Robbie Fowler (Muangthong United)

Sebelum Essien berhijrah ke Asia Tenggara untuk ke Persib Bandung, penyerang ikonik Liverpool, Robbie Fowler, terlebih dahulu beraksi di Thailand bersama Muangthong United. Malah, Thailand juga menjadi tempat bersejarah buatnya apabila mengakhiri kariernya di situ.

Joan Capdevila (Santa Coloma)

Bek kiri skuad kebangsaan Sepanyol ketika muncul juara Piala Dunia 2010 ini sempat mengakhiri karier di India selepas bersama NorthEast United pada 2014. Selepas itu, dia menuju ke liga bawahan Belgium untuk menyertai Lierse dan akhirnya menamatkan karier di Andorra bersama kelab semiprofessional, Santa Coloma.

Alessandro Del Piero, Robert Pires, David Trezeguet, Marco Materazzi, Nicolas Anelka, David James (Liga Super India)

Nama-nama di atas adalah barisan bintang yang berada di Liga Super India, iaitu saingan bola sepak di India yang dimulakan pada tahun 2013. Liga ini pada awalnya hanya dibarisi lapan pasukan dan sememangnya mengutamakan popularity sehingga menarik minat ramai bintang untuk meraih gaji tinggi sebelum bersara.

Gianluca Zambrotta (FC Chiasso)

Bek sayap berbisa ini membuatkan keputusan unik selepas meninggalkan AC Milan. Pada 2014, Zambrotta telah menyertai pasukan divisyen dua Switzerland, FC Chiasso, sebagai pemain dan pengurus. Ia dilihat sebagai inspirasi daripada rakannya, Gennaro Gattuso, yang terlebih dahulu menyertai satu lagi pasukan Switzerland, FC Sion.

Pep Guardiola (Dorados de Sinoloa)

Individu yang terkenal sebagai pengurus genius ini juga menamatkan karier selaku pemain dengan cara yang pelik. Sebelum bergelar pengendali, dia telah menyertai kelab Qatar, Al-Ahly, sebelum ke Mexico untuk bersama Dorados de Sinoloa dan akhirnya bersara.