Luar Negara Asia

Chanatip bantu Consadole ikat Vegalta Sandai, gol Teerasil kekalkan Sanfrecce di puncak J-League

Di saat pemain-pemain Malaysia terus beraksi di liga sendiri, nampaknya pemain-pemain Thailand semakin mengganas di Liga Jepun.

Dua bintang bolasepak Thailand, Teerasil Dangda dan Chanatip Songkrasin terus membuktikan keupayaan mereka untuk beraksi dalam Liga Jepun apabila kedua-dua pemain menjaringkan gol untuk membantu pasukan masing-masing.

Chanatip atau lebih dikenali sebagai ‘Jay’ menjaringkan gol untuk kelabnya Consadole Sapporo menentang Vegalta Sandai yang berakhir dengan keputusan 2-2. Chanatip menjaringkan gol pada minit ke-77 untuk membantu Sapporo mendahului 2-1. Tetapi Kazuki Oiwa menjaringkan gol penyamaan untuk Vegalta Sandai pada minit ke-93 untuk mengikat keputusan seri.

Manakala Teerasil yang beraksi untuk Sanfrecce Hiroshima telah membantu kelab itu menang ke atas V-Varen Nagasaki. Teerasil membuka jaringan untuk Sanfrecce pada minit ke-51 sebelum Sho Sasaki menjaringkan lagi satu gol tujuh minit kemudian untuk memberikan kemenangan 2-0.

Seorang lagi wakil Thailand di Liga Jepun, Theerathon Bunmathan pula mengalami nasib berbeza. Pemain pertahanan itu gagal membantu pasukannya menang apabila Vissel Kobe tewas 1-2 kepada Kawasaki Frontale di laman sendiri.

Mengikut kedudukan J-League setakat ini, Teerasil Dangda dan Sanfrecce Hiroshima berada di puncak selepas memungut 28 mata daripada 11 perlawanan. Chanatip dan Consadole Sapporo pula di tangga keempat dengan 19 mata. Bagi Teerathon dan Vissel Kobe pula, mereka berada di tangga kelapan dengan 15 mata.

Bila agaknya giliran pemain Malaysia memecah masuk ke Liga Jepun?