Malaysia Kolum

Azmeer Yusof vs Syazwan Andik: Persaingan sengit merebut posisi bek kiri Kuala Lumpur

Azmeer Yusof atau Syazwan Andik.

Bagi Ketua Jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel itu antara perkara yang memeningkan kepalanya. Tetapi ianya bukanlah satu perkara yang tidak bagus. Persaingan merebut tempat di bek kiri skuad City Boys akan sentiasa sengit dengan pemain muda seperti Syazwan Andik diberi peluang dan pemain berpengalaman, Azmeer Yusof sentiasa bersedia untuk merebut kembali tempatnya.

Perbezaan di antara kedua pemain ini mungkin boleh dilihat dengan Syazwan lebih bersifat menyerang sementara Azmeer pula lebih kental ketika bertahan. Namun, dengan Fabio lebih mahukan pemain bek yang lebih bersifat menyerang untuk melakukan overlapping dan membantu trio Indra Putra, Guilherme De Paula dan Zaquan Adha, Syazwan lebih mendapat tempat setakat ini.

Azmeer Yusof yang pulang ke kelab pertamanya, Kuala Lumpur pada musim lalu selepas membantu Kedah menjulang Piala Malaysia telah menjadi pilihan Fabio Maciel sebelum ini. Kekentalannya ketika bertahan dan pengalamannya telah membantu Kuala Lumpur menjuarai Liga Premier.

Mungkin ada yang menyangka dengan kehadiran Syazwan akan membuatkan Azmeer terus tersisih. Namun, tidak bagi Azmeer, yang melihat persaingan dengan Syazwan satu persaingan sihat dan bagus untuk pasukan.

“Sebagai pemain, sudah pasti saya mahu diturunkan dalam setiap perlawanan, namun saya perlu akur dengan keputusan jurulatih kerana beliau yang lebih bijak untuk menilai prestasi seseorang pemain,” kata Azmeer seperti dilaporkan Berita Harian.

“Lagipun, saya akui Syazwan sekarang memang sedang berada pada prestasi terbaik, jadi sudah tentu jurulatih akan terus memberi kepercayaan kepadanya.

“Saya tidak perlu cemburu atau kecil hati, sebaliknya akan terus bekerja keras serta memperbaiki kelemahan diri sendiri di samping memberi cabaran kepada Syazwan.

“Saingan sebegini sangat bagus untuk meningkatkan prestasi pasukan. Dalam apa keadaan sekalipun pemain perlu memberi keutamaan kepada pasukan berbanding kepentingan peribadi.”

Namun, melihat kepada corak permainan Syazwan, tidak mustahil untuk dia beraksi di bahagian sayap suatu hari nanti. Mungkin dia boleh menjadi seperti Gareth Bale yang bermula sebagai bek kiri sebelum menjadi antara pemain sayap digeruni. Ketika itu, mungkin kita boleh melihat Azmeer dan Syazwan berganding di sebelah kiri Kuala Lumpur.

Untuk sekarang dan perlawanan bertemu Perak, kita hanya boleh melihat salah seorang daripada Syazwan atau Azmeer yang pernah beraksi untuk Perak dahulu beraksi.