Liga Super Malaysia

Analisis: Trio Brazil Perak hancurkan impian ‘Giant Killer’ Kuala Lumpur

Skuad Perak berjaya mengelak menjadi mangsa seterusnya Kuala Lumpur yang telah menewaskan banyak pasukan gergasi musim ini. The Bos Gaurus mematahkan sayap helang kota dengan menewaskan mereka 3-0 menerusi jaringan Leondro dos Santos (penalti), Wander Luiz dan Gilmar.

 

Zaquan jadi penyerang tunggal

Formasi Kuala Lumpur agak berbeza bagi perlawanan ini. Menentang Selangor, mereka menggunakan formasi seakan-akan 4-3-3 dengan trio Zaquan Adha, Indra Putra dan Ashri Chuchu kerana perlu mencari gol, tetapi bagi perlawanan bertemu Perak, mereka seakan-akan bermain dengan penyerang tunggal, iaitu Zaquan yang bermain sebaris dengan barisan pertahanan tengah Perak dan cuba menewaskan mereka menggunakan kepantasannya.

 

 

Rob Cornthwaite bantu asak bahagian tengah Kuala Lumpur

Perak bermain dengan defense line yang agak tinggi dengan Rob Cornthwaite mengasak setiap kali bola berada di udara di bahagian tengah. Tahu taktikal Kuala Lumpur yang akan menyerap tekanan dan kemudian menghantar bola tinggi kepada Indra atau Paulo Josue, Cornthwaite ditugaskan untuk memotong bola setiap kali hantaran tinggi dilakukan ke bahagian tengah. Pemain tengah Perak pula akan bersedia untuk ‘second ball’ dan terus menembusi bahagian tengah Kuala Lumpur yang seakan-akan tidak ada.

Irfan dan Syazwan mengecewakan

Agak mengecewakan melihat aksi Irfan Zakaria dan Syazwan Andik pada malam ini. Kedua-duanya gagal memberikan perlindungan sewajarnya terhadap barisan pertahanan. Syazwan kadang-kala dilihat berlebih-lebihan ketika memegang bola sedangkan dia boleh mengeluarkan bola lebih awal yang seterusnya membenarkan Perak terus mengasak.

Perak ikat sayap KL Hawks

Kuala Lumpur dilihat bermain terlalu ‘narrow’. Dengan Zaquan yang lebih banyak berada di tengah dan Ashri terpaksa membantu bertahan, ditambah Syazwan dan Firdaus yang juga perlu lebih banyak bertahan, Kuala Lumpur hilang sengat mereka. Setakat ini Kuala Lumpur ternyata lebih bagus dengan menyerang di bahagian tepi, tetapi Perak berjaya mengikat sayap helang kota malam ini dengan Nor Hakim Hassan dan Beto yang dimasukkan pada separuh masa kedua

Perak dominasi bahagian tengah

Perak biarpun bagaikan kurang idea ketika menyerang dengan banyak menghantar bola tinggi, bijak mengambil kesempatan ke atas barisan tengah Kuala Lumpur yang kurang kemas. Gol kedua Perak terhasil apabila Junior kehilangan bola dan pemain-pemain tengah yang lambat bertindak. Ketika Gilmar merembat ke arah gol, pemain-pemain Kuala Lumpur menyangka Khatul akan dapat menangkap bola dan kealpaan mereka dihukum oleh Wander Luiz yang pantas bertindak untuk menolak masuk bola yang gagal ditangkap Khatul.