Luar Negara Malaysia

Empat bulan di Portugal, Syamer kutip pengalaman berharga

Setelah berusaha keras dan menunggu selama hampir empat bulan, Syamer Kutty Abba berasa sungguh teruja apabila terpilih dalam kesebelasan utama buat pertama kalinya untuk pasukannya Vilaverdense dalam saingan divisyen ketiga di Portugal.

Meskipun pasukannya tewas 1-0, pemain yang dipinjamkan JDT itu tetap tidak patah semangat sebaliknya kekal positif untuk terus berada dalam kesebelasan utama pasukan untuk perlawanan-perlawanan akan datang.

“Pengalaman dalam kesebelasan utama pasukan ini begitu berharga, apatah lagi saya menunggu peluang ini selama hampir empat bulan. Tiada apa yang harus dikecewakan kerana banyak perkara positif yang boleh diambil daripada perlawanan itu.

“Saya mengharapkan ini bukanlah kali pertama dan kali terakhir saya akan beraksi bersama pasukan, saya bertekad untuk membuktikan kemampuan jika sekali lagi diberi peluang khususnya untuk perlawanan di peringkat suku akhir selepas ini,” katanya kepada Berita Harian.

Syamer tidak keseorangan apabila seorang lagi pemain pinjaman JDT, Dominic Tan turut tersenarai dalam kesebelasan utama pasukan Vilaverdense meskipun kalah tipis 1-0 kepada Oliveirense.

Namun kekalahan itu tidak menjejaskan kedudukan pasukan itu sebagai naib juara liga dan pasukan itu bakal bersaing di peringkat suku akhir untuk layak ke saingan divisyen kedua Portugal, LigaPro musim hadapan.

Mengulas lanjut, pemain berusia 21 tahun itu banyak mempelajari aspek-aspek bola sepak dan menganggap beliau sudah menjadi pemain yang lebih bagus berbanding sebelum ini.

“Mereka sangat mementingkan taktikal dan rentak permainan di sini juga agak pantas. Saya merasakan ada peningkatan dari segi kesedaran mengenai taktikal dan juga fizikal selepas berada di sini.

“Jurulatih juga sering berkongsi ilmu dan dia banyak memberikan nasihat kepada kami sepanjang berada di sini. Saya selesa dan sudah menyesuaikan diri di sini walaupun merindui keluarga dan juga makanan Malaysia,” katanya.