Malaysia Berita

Kuantan FA sudah bubar, tapi hutang tetap perlu dibayar

Jurulatih Kuantan FA, Ismail Zakaria akan terus menuntut gaji yang masih belum dibayar dan tidak akan sekali-kali membiarkan pengurusan pasukannya itu daripada terlepas.

Katanya, pengurusan pasukan itu tetap berhutang dengan pegawai dan pemain meskipun pasukan itu tidak lagi beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini.

“Walaupun pasukan sudah disingkirkan namun harus diingat, tunggakan gaji tiga bulan tetap perlu dilunaskan. Pemain sudah pun bermain bermati-matian selama ini.

“Kita ada beberapa saluran yang boleh digunakan untuk menyelesaikan kes ini. Pengurusan seharusnya lebih bertanggungjawab untuk menyelesaikan gaji yang sudah tertunggak ini. Kami akan terus menuntut hak kami,” katanya kepada Berita Harian.

Mengulas lanjut, keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) semalam yang secara rasminya membatalkan penyertaan Kuantan FA selepas pasukan itu tidak hadir dalam perlawanan menentang PDRM selain berdepan dengan masalah kewangan memberi peluang kepada pemain pasukan itu mencari pasukan baharu untuk meneruskan karier mereka.

“Walaupun Kuantan FA telah digugurkan daripada saingan Liga Perdana tahun ini, setidak tidaknya perkara ini dapat dijadikan pengajaran kepada mana-mana pihak pengurusan pasukan yang terlibat dalam arena bola sepak tempatan.

“Apapun, keputusan ini sedikit sebanyak membolehkan pemain mencari hala tuju baharu dan saya bersyukur kebanyakan pemain sudah mendapat pasukan baharu untuk beraksi sekali gus membolehkan mereka terus bermain,” katanya.

Semalam, Lembaga Pengarah MFL memutuskan untuk membatalkan penyertaan Kuantan FA berkuatkuasa serta merta dalam saingan Liga Malaysia dan keputusan itu telah mendapat sokongan penuh daripada FAM.

Katanya, pengurusan Kuantan FA membiarkan isu itu melarat sehingga pasukannya tidak hadir ke perlawanan.

“Ini adalah satu pelanggaran besar terhadap perjanjian penyertaan dan jelas menunjukkan bahawa pengurusan Kuantan FA tidak mampu untuk menggunakan peluang yang diberikan untuk merencanakan semula masa depan pasukannya,” katanya.