Malaysia Liga Super Malaysia

Selepas Bruno Suzuki, Terengganu pinjam Akanni-Sunday pula

Disebabkan penyerang import Terengganu FC, Kipre Tchetche mengalami kecederaan, pasukan dari Pantai Timur itu memutuskan untuk meminjam penyerang import Terengganu FC II (TFCII), Akanni-Sunday Wasiu untuk dua perlawanan Liga Super.

Meskipun sebelum ini pasukan itu sudah pun membawa masuk seorang lagi penyerang import, Bruno Suzuki, nampaknya barisan kejurulatihan Terengganu masih belum cukup berpuas hati dengan pemain sedia ada ketika ini.

Ketua jurulatih TFCII, Mustaffa Kamal Wahab sendiri menjelaskan pasukan utamanya mahu meminjam penyerang import dari Nigeria itu untuk perlawanan bertemu Kedah pada Jumaat depan dan Pahang pada 1 Mei.

Katanya, Tchetche terpaksa direhatkan sementara dan tidak dapat beraksi dalam dua perlawanan itu namun pemergian sementara Wasiu ke pasukan utama Terengganu sebenarnya tidaklah menjejaskan pasukannya seperti yang disangka.

“Wasiu bakal dipinjamkan kepada Terengganu untuk dua perlawanan dengan Kedah dan Pahang sahaja, disebabkan Tchetche tidak dapat beraksi akibat kecederaan ketika bertemu Melaka United tempoh hari.

“Tetapi ia tidak menganggu persiapan kami sebab Wasiu akan turun bermain bersama TFCII terlebih dahulu untuk menghadapi Pulau Pinang pada hari Selasa ini dalam saingan Liga Perdana sebelum dipinjamkan kepada Terengganu,” katanya kepada Berita Harian.

Sebelum ini, sebanyak tiga pemain TFCII sudah dimasukkan ke dalam pasukan utama iaitu Bruno Junichi Suzuki, Mohammad Haidhir Suhaini dan Muhammad Aliff Fitri Jefri.