Malaysia Liga Super Malaysia

Veenod dedahkan perbincangan ‘hati ke hati’ bersama presiden KAFA, Bibi Ramjani

Pemain Kelantan, S. Veenod akui beliau masih dalam perbincangan bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan mengenai statusnya sebagai pemain Kelantan.

Katanya, perbincangan yang diadakan baru-baru ini berjalan dengan lancar dan dijangka kedudukannya akan dapat diputuskan tidak lama lagi.

“Buat masa ini saya tidak boleh bagi sebarang komen panjang, cuma apa yang boleh diberitahu, saya sudah mengadakan perbincangan dengan Kak Bibi sebaik saja beliau pulang dari China baru-baru ini.

“Kami berbincang dari hati ke hati dan secara jujur. Saya sudah menyatakan pandangan saya, begitu juga beliau. Ia berjalan dalam suasana harmoni serta positif.

“Setakat ini belum ada keputusan mengenai kedudukan saya. Kami masih dalam peringkat perbincangan untuk mencari kata sepakat. Saya berharap kami akan menemui jalan terbaik untuk menyelesaikan isu ini,” katanya kepada Berita Harian.

Sebelum ini, bekas pemain Selangor itu yang menyertai Kelantan awal musim ini mahu isu kontraknya diselesaikan segera sebelum jendela perpindahan kedua dibuka pada bulan hadapan.

Ini berikutan pengguguran pemain Kelantan secara besar-besaran dan Veenod merupakan antara pemain yang digugurkan oleh ketua jurulatih baharu The Red Warriors, Fajr Ibrahim.

Keputusan tanpa surat bertulis itu mencetuskan rasa tidak puas hati Veenod yang bercadang mengambil tindakan ke atas KAFA jika tidak diselesaikan secara profesional.

Namun, Bibi menganggap tindakan Veenod membuat kenyataan itu sebagai terburu-buru dan berjanji akan menyelesaikannya selepas pulang dari China minggu lalu.