Luar Negara Asia

Persija Jakarta mahu aksi bertemu Persib Bandung berlangsung di Gelora Bung Karno

Di liga bolasepak seluruh dunia, pasti akan ada dua pasukan yang menjadi seteru dan pertembungan mereka setiap musim adalah kemuncak bagi liga tersebut. Seperti pertembungan Manchester United vs Liverpool, Real Madrid vs Barcelona dan di Indonesia, Persija Jakarta vs Persib Bandung.

Setelah beberapa tahun perlawanan ini diadakan di luar Jakarta, Persija Jakarta mahu perlawanan tahun ini yang akan berlangsung pada 28 April nanti diadakan di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta.

Menurut Ketua Panpel Persija, Arief Perdana Kusuma, Persija sudah sedia menerima kunjungan Persib dan yakin perlawanan akan berlangsung dengan aman.

“InsyaAllah tetap di SUGBK. Semuanya sudah diberi jaminan, SUGBK termasuk pihak polis. Tidak akan ada apa-apa kejadian. Jakmania juga ketika ini dilihat positif. Kita akan beraksi waktu malam,” kata Arief seperti dilaporkan Bolalob.com

Dalam beberapa perlawanan sebelum ini, perseteruan di antara kedua-dua penyokong pasukan ini sangat kuat sehingga ada nyawa yang terkorban. Disebabkan itu ada beberapa perlawanan yang terpaksa berlangsung di luar kawasan dan penyokong pasukan lawan tidak dibenarkan hadir.

Namun kini dengan imej penyokong Persija yang dilihat semakin baik, ada sinar yang menunjukkan bahawa perseteruan di antara kedua pasukan ini hanya di atas padang dan tidak lagi terbawa sehingga ke luar.