Desas desus mengenai kehadiran bekas penjaga gol nombor 1 negara ke Kuala Lumpur semakin kuat. Khairul Fahmi Che Mat, satu nama yang tidak asing lagi dengan Kelantan dikhabarkan akan menyertai City Boys bagi memperkuat pasukan. Tapi wajar atau tidak Kuala Lumpur membawa masuk penjaga gol yang terkenal dengan gelaran ‘Apek’ ini? Mari kita nilaikan.
Dari sudut positif, kehadiran Khairul Fahmi, mampu memberikan impak bagus dari segi pemasaran buat Kuala Lumpur. Nama Khairul Fahmi sememangnya dikenali oleh semua peminat bolasepak tempatan. Apek mampu menarik banyak penaja dengan namanya yang cukup besar. Khairul Fahmi dahulu pernah menjadi duta banyak produk-produk ternama dan ini sebenarnya mampu membantu Kuala Lumpur menjana lebih wang menerusi pemasaran dan pengiklanan.
Selain daripada sudut penajaan, Khairul Fahmi mampu membawa pengalamannya untuk membantu Kuala Lumpur. Bersama pemain seperti Indra Putra dan Zaquan Adha, pengalamannya bermain di Liga Super dan skuad kebangsaan yang dapat membantu Kuala Lumpur memberi cabaran kepada pasukan lain di Liga Super. Pada awal musim, ramai merasakan Kuala Lumpur kurang pengalaman untuk beraksi di Liga Super, tetapi dengan seorang pemain seperti Khairul Fahmi, dia mampu memimpin terutamanya barisan pertahanan dan pemain seperti Indra Putra serta Zaquan menggunakan pengalaman mereka di bahagian serangan.
Tapi, tak mungkin tidak ada sudut negatif terhadap kehadiran Khairul Fahmi ini. Apa yang mungkin merisaukan terutamanya bagi penyokong Kuala Lumpur adalah prestasi Khairul Fahmi dalam beberapa musim ini dilihat tidak konsisten. Pada musim ini, Kelantan berada di tangga terbawah dan bolos jumlah gol yang banyak. Khairul Fahmi dilihat gagal mengekalkan prestasi hebatnya seperti di awal kemunculannya dahulu seperti ketika membantu Kelantan menjulang treble. Membawa masuk Khairul Fahmi merupakan satu percaturan dengan harapan dia akan berjaya mengembalikan prestasinya seperti dahulu.
Selain daripada Kamarul Effandi yang telah melakukan beberapa kesilapan besar pada musim ini, Kuala Lumpur mempunyai dua penjaga gol muda yang berbakat. Ahmad Solehin Mamat (22 tahun), Wira Kuala Lumpur ketika menentang Melaka dalam aksi Piala FA dan juga Khatul Anuar Jalil (21 tahun) yang beraksi ketika menentang Selangor dan Pahang. Kedua-dua penjaga gol ini mempunyai potensi untuk menjadi penjaga gol yang hebat. Kehadiran Khairul Fahmi mungkin boleh merencatkan perkembangan dua penjaga gol ini yang akan sukar mendapat peluang.
Jadi, apa pendapat anda? Adakah kehadiran Khairul Fahmi nanti akan memberi impak positif atau negatif kepada City Boys?