Malaysia Liga Super Malaysia

Amaran Durakovic kepada pemain Perak: Jangan pandang rendah PKNP

Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic awal-awal lagi sudah melaungkan amaran kepada pemain-pemainnya supaya bermain dengan profesional dan tidak memandang ringan terhadap kemampuan PKNP FC dalam pertemuan Liga Super di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang, malam ini.

Katanya, keputusan tewas 1-2 kepada PKNS FC minggu lalu tidak sedikit pun menggusarkannya malah melihat banyak elemen positif dalam perlawanan tersebut.

“Bagi saya perlawanan ini cukup penting. Lagipun saya tidak sekali-kali memandang mudah kemampuan PKNP FC.

“Mereka pasukan bagus serta ada pemain yang mempunyai semangat juang tinggi dan berkualiti. Kami tidak boleh pandang mudah pertemuan ini,” katanya kepada Berita Harian.

Pertembungan itu bakal menjadi sejarah buat kedua-dua pasukan yang buat pertama kalinya bertemu dalam saingan Liga Super.

Perak ketika ini merupakan satu-satunya pasukan yang kekal bersaing dalam liga bolasepak tertinggi di Malaysia sejak Liga Super diperkenalkan pada tahun 2004.

PNKP pula adalah kelab baharu yang mula bersaing dalam Liga FAM pada tahun 2015 namun mengambil masa yang cukup singkat untuk layak bersaing dalam Liga Perdana dan kemudiannya di Liga Super pada tahun ini.

Selepas mengharungi lima perlawanan, Perak menduduki tempat ke-7 dengan mengumpul sebanyak enam mata, hanya kelebihan satu mata sahaja dengan PKNP sekali gus mempunyai peluang untuk memintas Perak jika meraih tiga mata penuh hari ini.