Luar Negara Eropah

Timo Werner, calon pemain 100 juta euros yang kini menjadi sasaran Liverpool

Masih muda, produktif dan hanya beraksi dengan pasukan yang tidak gah seperti RB Leipzig, masa depan Timo Werner terus hangat diperkatakan. Dia dilaporkan bakal muncul sebagai pemain yang mencecah harga EUR100 juta selepas ini, sekaligus mengikut jejak langkah Neymar, Ousmane Dembele dan Kylian Mbappe. Siapa yang berminat mendapatkannya? Liverpool!

Khabar angin bahawa Werner bakal berhijrah ke Anfield mula diperkatakan oleh media di England. Mereka menyifatkan Jurgen Klopp mahu menambah jumlah penyerang dalam pasukannya kerana ketika ini, mereka hanya bergantung kepada Roberto Firmino. Ketika ini, hanya Dominic Solanke dan Danny Ings yang menjadi pilihan penyerang buat The Reds.

Selain itu, mereka juga memiliki Rhiann Brewster tetapi masih terlalu muda untuk diharapkan oleh Liverpool, sementara Divock Origi dan Daniel Sturridge masih dinantikan perkembangan mereka selepas dipinjamkan ke West Bromwich dan Wolfsburg.

Pencapaian Werner sendiri telah melayakkan dirinya dinilai sehingga melebihi EUR100 juta. Dalam 25 aksi liga musim ini, penyerang dengan ketinggian 180 sentimeter ini telah mencatat 10 gol dan tiga bantuan jaringan, sambil merekodkan nisbah tiga percubaan dalam setiap perlawanan. Hebat!

Ternyata, dia meneruskan prestasi cemerlang selepas meraih 21 gol di Bundesliga bagi saingan 2016/17, menduduki tangga keempat dalam carta penjaring terbanyak di belakang Pierre-Emerick Aubameyang, Robert Lewandowski, dan Anthony Modeste. Dia juga mengetuai Leipzig sehingga menduduki tempat kedua musim lalu dan beraksi di pentas Liga Juara-Juara Eropah buat pertama kali dalam sejarah pasukan.

Walaupun hangat dikaitkan dengan jalan keluar dari Jerman, berita perpindahan itu juga mungkin dicipta Liverpool sekadar untuk meraih sensasi kerana Naby Keita telah pun menyatakan persetujuan untuk ke Anfield pada musim depan. Justeru, tidak mungkin Leipzig akan melepaskan dua tonggak utama dalam satu musim kerana ia akan menjejaskan prestasi pasukan.

Werner sendiri masih belum membuat keputusan mengenai masa depannya. Ketika ini, dia sedang menumpukan fokus membawa Leipzig meraih kejayaan dalam Liga Europa dan memperkukuhkan tempatnya dalam skuad Jerman untuk saingan Piala Dunia 2018.