Malaysia Liga Super Malaysia

Figueroa sah bakal digantikan oleh Johor DT, spekulasi Fernando Torres kian hangat

Selepas sah mendapatkan bekas penyerang Lyon, Harry Novillo untuk jendela perpindahan kedua nanti, Johor Darul Ta’azim nampaknya masih bernafsu untuk memperkuat pasukan.

Pengarah Sukan Bolasepak JDT, Martin Prest hari ini mengumumkan, JDT akan mendapatkan seorang lagi penyerang import untuk menggantikan tempat Luciano Figueroa. Luciano Figueroa akan tetap kekal bersama JDT, cuma dia kini akan menjawat jawatan sebagai duta dan Pegawai Motivasi untuk Kelab Bolasepak JDT.

Pemain import JDT pada awal musim yang lalu adalah Jorge Pereyra Diaz, Luciano Figueroa, Hariss Harun, Gonzalo Cabrera dan Marcos Antonio. Tidak sampai separuh musim, JDT kehilangan Jorge Pereyra Diaz yang meninggalkan pasukan dan akan digantikan dengan Harry Novillo.

Kredit Foto: Johor Southern Tigers

Dengan usia Figueroa sudah berusia 36 tahun, JDT memerlukan seorang penyerang baru yang lebih muda bagi menggalas tugas dalam aksi Liga Super, Piala AFC, Piala FA dan Piala Malaysia nanti.

Sebelum ini, JDT pernah dikaitkan dengan beberapa pemain bintang, termasuk bekas penyerang Liverpool dan Chelsea, Fernando Torres. Spekulasi ini timbul buat kali pertama beberapa tahun lepas, sebelum Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards mengeluarkan kenyataan pada bulan Mei 2017 untuk menafikan berita tersebut.

“Terdapat banyak spekulasi di laman media sosial dan orang bertanya kepada saya yang mengatakan Fernando Torres akan menyertai JDT dari Atletico Madrid pada jendela perpindahan akan datang ini. “Walaupun kelab amat berbesar hati dikaitkan dengan pemain yang mempunyai nama besar tersebut, saya memberi jaminan bahawa Torres tidak akan menyertai kami.” kata Alistair dalam kenyataan tersebut.

Walau bagaimanapun, Tunku Ismail baru-baru ini menberi gambaran bahawa JDT bakal membawa masuk pemain berstatus bintang untuk memperkuatkan pasukan bagi baki musim Liga-M 2018, dan juga untuk pentas Liga Juara-Juara Asia 2019, sekiranya skuad Southern Tigers berjaya meraih kejuaran liga tahun ini.

Laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers juga ada memuat naik gambar Tunku Ismail bersama Fernando Torres. Walaupun gambar tersebut diambil ketika Tunku Ismail melawat Sepanyol pada tahun 2016, keputusan pihak JST untuk memuat naik gambar tersebut mungkin menjadi petunjuk bahawa Torres bakal menjadi penyerang bintang yang dijanjikan kepada barisan penyokong.

Tambahan pula, situasi Torres di Sepanyol sudah berubah. Kontrak Torres bersama Atletico Madrid akan tamat pada hujung musim ini, selaras dengan pembukaan jendela perpindahan kedua di Malaysia. Dan berdasarkan pelbagai laporan di negara tersebut, Diego Simeone tidak berminat untuk mengekalkan Torres dalam perancangannya untuk musim depan.

Adakah Torres bakal menjadi pemain bintang yang dibawa masuk? Semuanya akan terjawab nanti apabila jendela perpindahan dibuka pada bulan Mei nanti.