Kolum Luar Negara

Alisson vs Ederson: Persaingan sengit untuk posisi penjaga gol utama Brazil

Dalam “Soccer in Sun and Shadow” (1995), Eduardo Galeano telah mewujudkan satu tulisan tentang penjaga gol. Dia menulis: “Penjaga gol sering menghadapi kecaman kerana menyaksikan permainan dari jauh. Mereka tidak meninggalkan gawang, hanya bertemankan dua tiang gol dan satu palang.” Sejak itu, segalanya telah berubah.

Penjaga gol moden kini dilihat lebih daripada seorang individu yang mengawal gawang daripada dibolosi dan mengawal garisan di antara dua tiang. Dalam usaha untuk menampilkan aksi terbaik, pelbagai teknik dan cara diperlukan walaupun sebelum ini tampak tidak begitu penting, seperti cara mengawal keadaan bola serta ketangkasan menangkis bola udara.

Teknik-teknik ini telah semakin berkembang kerana pertambahan taktikal. Perkataan “tambah” digunakan kerana kini kebanyakan pasukan bertahan dalam keadaan yang tinggi dan jauh daripada gol. Ia dilakukan untuk menjadikan situasi kawalan bola lebih dekat dengan gol lawan dan sudah pasti, ia tidak boleh bergantung harap kepada penyerang semata-mata, malah bermula daripada garisan bawah, terutamanya penjaga gol.

Sejak itu, berlaku kewujudan istilah yang dipanggil penjaga gol ofensif. Jerman tampak mengetuai senarai itu dengan Manuel Neuer. Dia sering dilihat meninggalkan kawasan kotak penalti untuk membantu barisan bawah dan juga melakukan hantaran jauh buat jentera serangan. Bakal penggantinya, Marc-Andre ter Stegen, juga dilihat proaktif. Bagaimanapun, sejak tahun lalu, Brazil dilihat mula mengikuti jejak langkah gergasi Eropah itu.

Untuk sekian lama, posisi penjaga gol buat Brazil menjadi satu persoalan yang besar. Moacir Barbosa sedar tentangnya lebih daripada apa yang orang ramai fikirkan untuk skuad Selecao ketika Piala Dunia 1950. Kesilapan di pentas final menyebabkan mereka tewas di tangan Uruguay, menyebabkan dirinya menerima kecaman yang teruk kerana menafikan peluang Brazil untuk muncul juara di laman sendiri sehingga memberikan satu bebanan yang ditanggung disepanjang hidup.

Selepas era Barbosa, dunia bola sepak Brazil dibanjiri dengan kelompok pemain yang dikurniakan bakat teknikal semulajadi yang tinggi tidak kira daripada posisi tengah, sayap serta penyerang tetapi posisi penjaga gol menjadi tempat yang terus menimbulkan persoalan walaupun hadir daripada kelompok elit.

Dua perkara yang berlaku pada musim panas lalu telah mengubah senario itu. Pada 1 Jun 2017, Manchester City mengesahkan kehadiran Ederson untuk menyelesaikan masalah di barisan terakhir, sementara selepas Wojciech Szczesny meninggalkan AS Roma untuk ke Juventus, skuad Giallorossi membuka ruang di kesebelasan utama buat Alisson.

Ederson dan Alisson telah memyerlahkan kebolehan mereka sehingga memegang status antara penjaga gol terbaik di dunia. Mereka memenuhi setiap tuntutan untuk muncul selaku benteng terakhir yang diperlukan apabila menunjukkan kualiti di setiap aksi dalam era bola sepak moden, dimana ia sentiasa memerlukan tekanan dan barisan pertahanan yang tinggi.

Kedua-dua mereka sama tetapi tidak serupa. Ederson lebih kepada kawalan dalam operasi pasukan kerana setiap perkara yang dilakukan memihak kepada kawalan tepat serta kebolehan yang menyeluruh buat pasukan. Ia bukan sahaja melibatkan kemampuannya mengemudi pasukan dari bawah tetapi turut membantu dalam melancarkan pergerakan. Situasi itu amat diperlukan Pep Guardiola kerana dia mahukan seseorang yang mampu mengawal aksi di atas padang dari bawah.

Pemain berusia 24 tahun itu menikmati perkembangan karier yang pantas. Tiga tahun lalu dia hanyalah seorang pemain yang beraksi buat pasukan Benfica B dan hanya tampil buat skuad Brazil pada Oktober tahun lalu. Bagaimanapun, melalui konsep yang diterapkan hasil daripada sukan futsal, dia pantas menyesuaikan diri dengan gaya Liga Perdana Inggeris.

Contoh terbaiknya adalah ketika membantu City membenam cabaran Tottenham Hotspur 4-1 pada Disember lalu, dimana dia menyalurkan bola buat Kyle Walker di sebelah kanan menerusi hantaran voli. Risikonya tinggi tetapi dia melakukannya dengan baik untuk membantu pasukan dari bahagian sayap.

Sementara Alisson lebih kepada penjaga gol tradisional Brazil. Dia memiliki kepantasan sama seperti Ederson, bahkan mempunyai daya ketangkasan yang lebih bagus berbanding bintang City itu. Untuk Alisson, dia lebih kepada seorang individu yang lebih berhati-hati tetapi bercita-cita besar.

Dia memberitahu laman web Roma bahawa jika satu hari nanti dia perlu memilih satu posisi untuk bermain, penyerang akan menjadi pilihannya. Buktinya, hampir keseluruhan musim ini Alisson telah menunjukkan sesuatu yang lebih daripada perkara yang mudah buat penjaga gol. Dia sering menjemput penyerang lawan untuk memberikannya tekanan sebelum melambungkan bola melepasi mereka untuk mencari rakan sepasukan menerusi hantaran menggunakan tumit. Jelas, ia adalah gaya Samba.

Brazil tentunya berdepan cabaran besar untuk memilih pilihan utama dalam saingan di Russia nanti. Apa yang jelas, disebalik memberikan pemilihan yang sukar pengurus pasukan, ia tetap dikira sebagai satu pilihan yang mewah buat Brazil. Selepas bertahun-tahun, posisi penjaga gol Selecao telah dilupakan tetapi pada musim panas ini, mereka akan mengetuai cabaran Brazil.

Oleh Blair Newman
(www.tifofootball.com)