Berita Malaysia

Roberto Carlos sah dilantik sebagai duta global terbaru AirAsia

AirAsia telah secara rasmi mengumumkan perlantikan pemain lagenda Brazil, Roberto Carlos sebagai duta global terbaru.

Pengumuman tersebut dibuat di Kuala Lumpur tengah hari semalam dan turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat dan juga Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail.

Carlos bakal bekerjasama dengan AirAsia untuk membina dan melancarkan pelbagai kempen berkenaan bolasepak dan bekas bintang Real Madrid itu nampak cukup teruja untuk memulakan kerjasama ini.

“Di Brazil, kami berkata ‘kami lebih menghargai nilai bolasepak kerana kesengsaraan yang telah kami alami’. Ini menunjukkan bahawa anda boleh berjaya tidak kira latar belakang anda, selagi anda percaya pada diri sendiri dan juga bekerja keras. Saya sangat teruja untuk mewakili jenama AirAsia,” kata Carlos.

Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia juga menyatakan bahawa dia tidak sabar untuk mula bekerja bersama lagenda Brazil itu, selain turut berpendapat ciri-ciri Carlos selaras dengan budaya yang dititikberatkan oleh AirAsia secara keseluruhan.

“Tiada siapa yang memiliki semangat yang berani untuk menggapai cita-cita seperti Roberto Carlos. Dari bermain di jalanan kota Garca dan membuat keputusan untuk menjadi pemain bolasepak profesional pada umur 12 tahun, ke peristiwa sepaan percuma yang menakjubkan menentang Perancis dan juga memenangi Piala Dunia, beliau telah menunjukkan bahawa apabila beliau inginkan sesuatu, beliau akan berusaha sedaya upaya untuk mencapainya. Kami amat berbangga untuk mempunyai seorang pejuang dalam barisan duta juara dunia kami,” kata Tony.

Diberi gelaran “The Bullet Man” kerana sepakan percumanya yang padu, Roberto Carlos telah mewakili Brazil dalam tiga kejohanan Piala Dunia FIFA, dan beliau juga sebahagian daripada pasukan yang telah memenangi Piala Dunia 2002 yang berlangsung di Korea Selatan dan Jepun.

Di peringkat kelab, beliau bermain untuk Real Madrid dan telah memenangi empat piala kejohanan La Liga Sepanyol, serta Liga Juara-Juara Eropah sebanyak tiga kali pada 1999, 2000 dan 2002.