Berita Asia

Persib Bandung lepaskan Michael Essien

Nampaknya projek Marquee signing Persib Bandung tidak menjadi.

Selepas Carlton Cole dilepaskan pada musim lalu, kini giliran Michael Essien pula meninggalkan Persib Bandung.

Kelab berpengkalan di Bandung itu dikhabarkan terpaksa melepaskan Essien untuk mendaftar seorang lagi pemain import, Jonathan Bauman.

Setakat ini masih belum ada pengumuman rasmi daripada Persib, tetapi menurut salah seorang pegawai dari Persib, Essien memang telah dilepaskan dan kini cuma sedang menunggu urusan pentadbiran untuk menyelesaikannya.

Essien turut tidak terlibat dalam program pelancaran skuad dan jersi Persib Bandung 2018 yang berlangsung semalam. Menurut Komisaris Utama PT Persib Bandung Bermartabat (PBB) Zaenuri Hasyim, Essien dilepaskan adalah keputusan dari barisan kejurulatihan yang diketuai Mario Gomez.

Essien merupakan antara marquee signings yang menghiasi Liga 1 Indonesia yang dilancarkan semula pada tahun lalu. Selain Essien dan Cole, antara pemain-pemain bintang yang beraksi di Liga 1 Indonesia ketika itu adalah bekas pemain Liverpool Mohamed Sissoko, bekas pemain Tottenham, Didier Zokora dan bekas pemain Stoke City, Peter Odemwingie.

Persib membawa masuk Essien dan Carlton Cole pada musim lalu dengan sasaran untuk merangkul gelaran juara Liga 1 Indonesia. Namun perbelanjaan besar mereka tidak berhasil apabila sekadar menduduki tangga ke-13.