Malaysia Liga Super Malaysia

Bekas ketua pasukan Pulau Pinang tuntut tunggakan gaji

Selepas Jafry Firdaus Chew, giliran seorang lagi pemain Pulau Pinang menyuarakan mengenai isu tuntutan gaji tertunggak oleh Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP). Jika sebelum ini bekas penyerang mereka yang membuat aduan, kini giliran bekas ketua pasukan mereka pula.

Rafiuddin Roddin yang pernah beraksi untuk Pulau Pinang dari tahun 2014 hingga 2017 menyatakan bahawa dia sudah mencuba untuk berbincang bagi menyelesaikan masalah tersebut tetapi malangnya ia tidak juga selesai.

“Saya kesian pada mereka, tetapi saya sudah berikan masa yang cukup,” kata Rafiuddin yang kini beraksi bersama Perak seperti dilaporkan oleh Harian Metro.

“Saya masih berharap tunggakan gaji untuk Oktober dan November 2017 itu dapat dilangsaikan tanpa perlu saya dan kawan membawa isu itu ke tengah.

“Setakat inin saya menggunakan khidmat Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) untuk menuntut hak. Tapi hingga sekarang ia masih gagal diselesaikan.”

Selain Rafiuddin dan Jafry, pemain-pemain lain yang dikhabarkan turut menerima nasib yang sama adalah K Reuben, Faizat Ghazali, Mafry Balang, Sani Anuar Kamsani dan Syed Adney Syed Hussein.

Pihak pengurusan FAP perlu bertindak untuk menyelesaikan masalah ini dengan pantas jika tidak mahu dikenakan hukuman oleh FAM. Isu gaji ini adalah antara perkara yang perlu dititikberatkan oleh semua kelab-kelab di Malaysia. Sentiasa cari jalan untuk menambah kewangan supaya tidak akan berlaku masalah kewangan di masa hadapan termasuk masalah gaji.