Berikut adalah nukilan rakan kami daripada Football Tribe Indonesia, Aun Rahman, tentang bintang Indonesia yang kini beraksi bersama Kuala Lumpur di Liga Super Malaysia, iaitu Achmad Jufriyanto
Ramai yang tidak tahu bahawa saya merupakan peminat setia Persita Tangerang. Segalanya disebabkan aksi domestik yang saya saksikan adalah fina Liga Indonesia pada 2002, sewaktu perlawanan melibatkan Pendekar Cisadane berdepan Petrokimia Putra tatkala masih berada di bangku sekolah ketika itu.
Selain Persib Bandung yang merupakan tempat saya membesar, saya juga adalah penyokong skuad Persita sejak mereka di tahap terbaik sehingga bersaing di Liga 2, ketika ini. Percaya atau tidak, itulah sebabnya mengapa saya terlebih dahulu mengenali Achmad Jufriyanto.
Mungkin ramai yang sudah maklum dengan perjalanan kariernya dari Tangerang ke Persib Bandung tetapi ini adalah kisah saya sendiri mengenai pemain yang terkenal dengan sapaan Jupe itu.
Satu petang di Jalak Harupat
Seperti penggemar bola sepak normal yang lain, saya juga meminati permainan video Football Manager sehingga kini. Atas kecintaan terhadap bola sepak kebangsaan, saya sering melibatkan diri dengan Liga Indonesia dalam permainan video tersebut.
Masih ingat lagi nama Achmad Jufriyanto muncul dalam permainan video itu ketika edisi 2007 dikeluarkan. Kebetulan, ketika itu saya menggunakan Persita kerana kehadiran semula Ilham Jayakesuma selepas berkelana sementara di Malaysia. Pada awalnya saya menjangka waktu terbaiknya sudah berlalu tetap jelas sekali dia merupakan seorang pemain yang memiliki potensi besar.
Ketika mula bermain bola sepak sewaktu kecil, saya beraksi sebagai pemain tengah bertahan. Mungkin ia kesan daripada Jupe. Kurus dan tinggi lampai membuatkannya sempurna. Jupe juga sering membantu pasukan ketika melancarkan serangan dan itu menjadi faktor kepada keistimewaannya dalam teknik permainan.
Saya sangat gembira apabila Jupe membuat keputusan untuk menyertai Persib Bandung pada 24 November 2013. Bayangkan seorang idola bola sepak menyertai pasukan kegemaran anda. Pastinya membuatkan anda teruja.
Pertama kali saya bertemunya adalah pada tahun 2015 sewaktu Persib bertemu Selangor FA di Stadium Jalak Harupat. Bertemu di lorong laluan pemain, perasaan ketika itu sangat luar biasa walaupun sebelum ini telah berjumpa dengan ramai pemain. Bahkan, saya menitiskan air mata ketika itu!
Berbeza dengan orang lain, saya tidak menjadikan pemain lain sebagai idola di peringkat antarabangsa. Sama jika anda bertemu Lionel Messi, Cristiano Ronaldo dan Thierry Henry, detik bertentang mata dengan Jupe menjadi satu tempoh yang sering saya nanti-nantikan.
Banyak kisah menarik yang saya dengar dari mulut Jupe sendiri. Antaranya adalah Jacksen F. Tiago cuba untuk menghalangnya daripada meninggalkan Persita, malah menawarkan telinganya agar dipotong sekiranya Jupe membuat keputusan untuk kekal tetapi tidak dipilih menyertai skuad Indonesia. Kisah penampilan terakhir bersama Arema yang tamat dengan kad merah serta kenangan manis meraih kejuaraan bersama Persib.
Paling membuatkan saya terkesan adalah ketika bertemu isterinya yang menawan, Endah Yuliyani. Dia mengenali isterinya ketika zaman sekolah, sekaligus menjadi bukti bahawa Jupe tidak hanyut dibuai kehidupan seorang bintang bola sepak seperti kebanyakan pemain lain.
Sepanjang kariernya, Jupe telah menunjukkan contoh yang baik di dalam dan di luar padang dan juga cara untuk dihormati dan disegani. Ketua, nadi utama serta legenda adalah terma yang sempurna untuk menggambarkan Jufriyanto.
Maka, perpindahannya ke Malaysia tidak membuatkan saya bersedih. Bahkan, saya bangga kerana idola saya telah berhijrah ke luar negara dan mengembangkan lagi karier.
Semoga berjaya di Malaysia, Jupe!