Liga Super Malaysia

Felda United mahu kekal gah di puncak Liga Premier, Kuantan FA bakal jadi mangsa seterusnya?

Pendahulu Liga Perdana, Felda United, mahu menjadikan Marcerra Kuantan FA sebagai mangsa terbaru apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada malam ini.

Selepas empat perlawanan, Felda yang dikendalikan oleh B. Sathianathan mengutip 12 mata, sekaligus meletakkan mereka di puncak liga dengan status kemenangan bersih.

Justeru, aksi di laman sendiri bertemu Kuantan FA perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh The Fighters dalam usaha mengekalkan penguasaan di tangga teratas dan perkara itu disuarakan sendiri oleh pemain tengah, Christie Jayaseelan.

“Kami tidak boleh sia-siakan kelebihan beraksi di tempat sendiri, jadi tiga mata penting untuk terus di puncak liga. Bagaimanapun, lawan juga tidak boleh diambil ringan kerana mereka baru mengalami satu kekalahan,” kata Christie, menurut laporan Berita Harian.

Dia yang telah mengutip dua jaringan dalam saingan liga kini bersedia untuk meneruskan prestasi hebat dan 12 mata sejak permulaan musim memberikan suntikan motivasi buatnya serta seluruh pasukan.

“Misi utama adalah mendapatkan tiga mata tetapi kesilapan juga perlu dielak untuk menafikan lawan daripada mencuri mata.

“Saya harap rakan sepasukan dapat meneruskan momentum terbaik pasukan.”