Luar Negara

Bafetimbi Gomis pengsan ketika perlawanan

Bekas penyerang Swansea, Batefimbi Gomis pengsan ketika beraksi untuk Galatasaray dalam perlawanan Liga Super Turki menentang Kasimpasa semalam.

Namun, pemain Perancis itu dibenarkan meneruskan permainan oleh anggota perubatan, walaupun tidak sedarkan diri sebelum itu.

Gomis merupakan pemain penting untuk kelab Turki itu selepas menjaringkan 20 gol daripada 25 perlawanan.

Dalam aksi di Stadium Recep Tayyip Erdogan itu, Gomis tiba-tiba melutut dan pengsan ketika Gala sedang bersedia mengambil sepakan penjuru pada minit ketujuh perlawanan. Kejadian tersebut menyebabkan pemain, pegawai dan penyokong terkejut dan risaukan keadaannya.

Tindakan pantas semua pemain dan petugas perubatan telah membantu menyedarkan semula pemain tersebut sebelum dibenarkan semula untuk bermain dalam perlawanan tersebut.

Gomis sebelum ini pernah pengsan ketika bersama kem latihan skuad Perancis pada tahun 2009 dan dia didapati mempunyai vasovagal syncope, salah satu symptom kurang tekanan darah.

Dia juga pernah pengsan ketika beraksi untuk Swansea menentang Tottenham Hotspur di White Hart Lane pada tahun 2015.