Ketua jurulatih Selangor, P. Maniam berpendapat bahawa kesilapan individu dan barisan pertahanan yang masih belum kental merupakan dua sebab utama di belakang kekalahan mereka di tangan Terengganu malam semalam.
Meskipun tiba di Kuala Terengganu sebagai pendahulu Liga Super, anak buah P. Maniam tewas 1-4 kepada skuad Penyu. Tetapi, Maniam masih yakin bahawa pemainnya mampu menunjukkan kebangkitan dalam perlawanan seterusnya.
“Secara keseluruhan kita boleh nampak pemain tidak beraksi dengan begitu baik. Sebaliknya, Terengganu berjaya kutip tiga mata kerana mereka begitu kuat di jentera serangan sehingga menyukarkan pemain kita, tahniah buat Terengganu,” kata Maniam kepada Arena Metro.
“Tapi kita datang ke Terengganu bukan dalam keadaan tekanan biarpun memimpin liga. Cuma kita maklum kepada pemain supaya tetap berwaspada dengan ancaman lawan kerana mereka pasukan yang kuat.
“Bagaimanapun kesilapan individu selain barisan pertahanan kurang kemas membuatkan kita gagal mengutip sebarang mata dalam perlawanan ketiga ini biarpun kami punyai import yang bagus seperti Rufino.
“Tapi malam ini (malam semalam) mereka tidak bermain dengan baik, namun kita masih ada masa untuk tingkatkan prestasi pasukan,” tambah Maniam.
Gol-gol Terengganu dijaringkan oleh Kipre Tchetche, Shahrul Aizad dan dua daripada Lee Tuck, termasuk gol berkelas dunia yang dijaringkan daripada garis tengah padang. Manakala Amri Yahya pula menjaringkan gol tunggal Selangor malam semalam.