Mahali Jasuli berharap bahawa pengalaman bekerja bersama Datuk K. Rajagobal akan mencetus kebangkitannya bersama PKNS musim ini.
Minggu lepas, Johor DT mengumumkan bahawa Mahali akan dipinjamkan ke PKNS untuk satu musim selepas gagal dimasukkan ke dalam perancangan Ulises Morais untuk musim 2018 dan bekas bintang Selangor itu tekad mahu menemui semula sentuhan dengan bantuan Rajagobal.
“Saya dibimbing oleh Rajagobal sejak bersama skuad Bawah 18 dan 19 tahun negara. Malah, beliau juga yang memberi saya peluang mewakili skuad utama kebangsaan di Piala Suzuki 2010,” kata Mahali kepada Arena Metro.
“Jadi, kami sudah saling mengenali cara masing-masing. Beliau tahu apa kelebihan serta sejauh mana kemampuan saya sebagai pemain. Saya gembira dapat berguru semula dengan beliau.
“Begitu pun ia bukan jaminan atau jalan pintas untuk saya dapatkan tempat. Saya tetap perlu bekerja keras kerana saingan dalam pasukan PKNS juga tidak kurang hebatnya,” tambah Mahali.
Sebelum ini, Mahali sering dilabel sebagai antara pemain pertahanan terbaik di Malaysia. Namun, prestasinya mula merosot selepas mengalami masalah kecederaan pada tahun 2016.
“Selepas mengalami kecederaan lutut serius pada 2016 yang memaksa saya berehat selama tiga bulan, saya mendapati payah untuk mendapatkan semula sentuhan walaupun sudah pulih sepenuhnya.
“Justeru, bila JDT bersedia memberi peluang untuk saya bermain dengan pasukan lain secara pinjaman, saya sangat menghargainya serta berterima kasih kepada kelab itu,” tambah pemain yang berusia 28 tahun itu.