Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe kekal jurulatih Harimau Malaya sehingga 2022

Walaupun FAM tidak dapat menilai prestasi skuad kebangsaan tahun ini disebabkan wabak COVID-19, badan bola sepak negara itu membuat keputusan untuk mengekalkan khidmat Tan Cheng Hoe untuk dua tahun lagi.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Cheng Hoe memandangkan kontraknya akan tamat pada 31 Dis ini.

Lanjutan kontrak itu membolehkan Cheng Hoe untuk terus melakukan persiapan untuk pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 yang dijangka bermula Mac tahun hadapan, tertakluk kepada keadaan semasa.

“FAM sudah setuju untuk menyambung kontrak bagi tempoh dua tahun lagi,” katanya kepada Bernama.

“Saya menganggap ini sebagai satu cabaran untuk saya dalam membawa pasukan kebangsaan, ke satu tahap lebih baik.”

Cheng Hoe yang ketika ini berada di Pulau Pinang berkata, beliau telah menerima surat tawaran lanjutan kontrak itu dan akan berjumpa barisan kepimpinan tertinggi FAM, sebaik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilonggarkan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata pihaknya menganggap Cheng Hoe sebagai antara individu terpenting dalam perkembangan bola sepak negara.

“Kami gembira Cheng Hoe bersetuju untuk menyambung khidmatnya dan sekarang kami dapat memberi fokus pada beberapa perlawanan penting selepas ini.

“Banyak rintangan dihadapi tahun ini dan berharap situasi tidak dikehendaki ini segera berakhir dan seterusnya mengembalikan semangat pasukan tahun depan.”

Sejak berada di bawah kendalian Cheng Hoe, skuad kebangsaan merekodkan sembilan kemenangan dalam keseluruhan 13 perlawanan, termasuk aksi persahabatan berstatus A sejak muncul naib juara Piala AFF 2018.

Empat daripada sembilan kemenangan dilakar ke atas pasukan yang berada di ranking dunia lebih tinggi daripada skuad negara.

Malaysia menumpaskan Afghanistan (ranking 147) pada Kejuaraan Piala Airmarine (Mac); Nepal (161) serta Tajikistan (116) pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 (Jun dan November); dan Thailand (109) dalam saingan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 14 Nov lepas.

Dalam saingan kelayakan itu, Malaysia berada dalam kedudukan selesa di tempat kedua, dengan mengumpul sembilan mata selepas mengharungi lima daripada keseluruhan lapan aksi kumpulan.

Layak ke Piala Asia 2023 merupakan misi pasukan kebangsaan dalam Peta Hala Tuju FAM, yang juga dikenali sebagai F:30.